
PETALING JAYA – Pesawat jet persendirian yang digunakan dalam cubaan penyeludupan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine ke Filipina dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Subang tanpa sebarang muatan sebelum mengambil bekalan dadah di Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menerima makluman daripada pihak berkuasa Laos berhubung kejayaan menggagalkan cubaan penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos pada 1 Oktober lalu.
Menurutnya, pesawat berkenaan pada awalnya berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang, Laos dengan membawa tiga individu.
“Pesawat berkenaan dinaiki seorang juruterbang warga Singapura, seorang pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.
“Pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira pukul 11.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kira-kira pukul 1.30 petang, dua kenderaan tiba di kawasan lapangan terbang sebelum beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan untuk dibawa ke pesawat.
“Pemeriksaan kemudian menemukan 500 bungkusan disyaki methamphetamine dengan berat keseluruhan 521kg,” ujarnya.
“Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya pasaran Malaysia.
“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang, Laos tanpa sebarang muatan sebelum dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila,” katanya.
Terdahulu, seramai 13 individu ditahan pihak berkuasa Laos, termasuk juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia, penumpang warga Filipina, tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang warga Laos dan tujuh kakitangan lapangan terbang yang mengendalikan mesin X-ray.
Hussein menambah, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan pihak berkuasa Laos.
Sementara itu, kata Hussein, sepasukan pegawai JSJN akan dihantar ke Laos bagi menjalankan soal siasat serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung sindiket terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Jet berlepas dari Subang tanpa muatan, dadah 521kg diambil di Laos appeared first on Kosmo Online.





