
SANDAKAN: Projek naik taraf Jeti Operasi Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan sudah mencapai 39 peratus dan dijangka siap tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, apabila siap sepenuhnya kelak, jeti ini mampu menampung kehadiran kapal-kapal TLDM yang berlabuh dan bertugas di kawasan ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus melakukan lawatan rasmi ke Pangkalan TLDM Sandakan, Isnin.
Terdahulu, beliau turut melawat Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Op Pasir Sektor Bravo, Pulau Berhala dan Mawilla 2.
SPONSORED CONTENT Hajiji says positive economic achievements prove Sabah govt’s commitment Kota Kinabalu: Chief Minister, Datuk Seri Hajiji Noor, emphasised that the positive economic achievements over the past three years underscore the Sabah government’s steadfast commitment to both the administration and development of the state. Read more Lawatan kerja ke Pulau Berhala bertujuan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan terperinci mengenai aspek pengoperasian sempadan, selain melihat sendiri keperluan dan kebajikan anggota yang bertugas di sempadan.
Beliau juga diberikan taklimat berkaitan pelaksanaan Op Pasir, yang dilaksanakan untuk melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara daripada sebarang bentuk ancaman pencerobohan dan konflik, selain berpeluang meninjau keadaan persekitaran dan kemudahan prasarana yang disediakan di kem ini.
Adly dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersama-sama menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Surau Al Jamaei, Kem Pulau Berhala.
Beliau turut menyantuni warga ATM yang bertugas sempena Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Aidiladha bagi menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan perwira dan perajurit ATM yang bertugas di perbatasan pada perayaan kali ini, selain warga TLDM di Mawilla 2.
Di Taman Samudera iaitu kediaman keluarga TLDM Sandakan, Adly turut menyempurnakan penyembelihan korban dua ekor lembu yang beliau sumbangkan, serta menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Aidiladha bersama warga Mawilla 2.
Majlis turut diserikan lagi dengan penyampaian bantuan kebajikan kepada 10 penerima dari kalangan anggota atau waris yang menghidap penyakit kronik atau kurang upaya (OKU).
Jelasnya, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan dalam membantu meringankan beban warga TLDM dalam pengurusan kehidupan seharian.
Mengenai lawatan kerja itu, beliau berkata, ia antara inisiatif pihaknya dalam menyantuni warga ATM yang melaksanakan operasi di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu selaras Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Katanya, strategi ini bertujuan melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman oleh anasir yang ingin menggugat kesejahteraan negara.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata penyediaan perumahan untuk warga TLDM sentiasa diutamakan, dengan peruntukan RM400 juta untuk menyiapkan kesemua perumahan menjelang 2029.
Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris; Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman; Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin dan Timbalan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Muhamad Shakir Salleh.
Pada Ahad, beliau juga menyantuni beberapa vateran tentera serta balu dan waris masing-masing di Sandakan yang tidak berpencen biarpun banyak berjasa kepada negara pada suatu masa dahulu.
“Di bawah Program Veteran Madani, veteran tentera ini juga tidak dilupakan dan kebajikan mereka serta pembelajaran anak-anak sentiasa akan diambil perhatian sewajarnya,” ujarnya, sambil menggalakkan veteran berdaftar dengan program berkaitan agar tidak tercicir apa sahaja aktiviti dirancang.
Mereka juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan yang membantu menjana pendapatan mereka.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
