Jeti Tambatan Diraja Kota Bharu runtuh, tiga wanita jatuh Sungai Kelantan

9 Aug 2025 • 10:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jeti Tambatan Diraja di Kota Bharu runtuh dipercayai telah menyebabkan tiga wanita terjatuh ke dalam Sungai Kelantan. Foto JBPM

KOTA BHARU - Jeti Tambatan Diraja di sini runtuh dipercayai menyebabkan tiga wanita terjatuh ke dalam Sungai Kelantan pada Sabtu.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 4.53 petang itu terkawal dan kesemua mangsa selamat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab, berkata beliau dimaklumkan hanya dua wanita dewasa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan ringan.

“Mengikut laporan, mereka dipercayai meniti di atas laluan yang menghubungkan antara kawasan darat ke jeti sebelum ia runtuh secara tiba-tiba.

“Dipercayai laluan itu telah uzur. Bagaimanapun, semuanya terkawal,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, mereka dikatakan hadir menikmati perkhidmatan menaiki bot APM secara percuma menyusuri Sungai Kelantan sempena Program Madani Rakyat 2025 Kelantan yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.