JHEV peruntuk RM8 juta bina baharu, baik pulih rumah veteran ATM tahun ini

15 Jan 2026 • 10:39 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: JHEV peruntuk RM8 juta bina baharu, baik pulih rumah veteran ATM tahun ini
Foto oleh MINDEF

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) memperuntukkan RM 8 juta untuk Program Rumah Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah Veteran ATM di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari, berkata pihaknya menyasarkan untuk membina 40 unit Rumah Bina Baharu dengan kos RM 75,000.00 sebuah di Semenanjung dan RM 85,000.00 di Sabah dan Sarawak, selain kerja-kerja pembaikan 280 buah rumah Veteran ATM dengan kadar siling RM 17,000.00 setiap rumah.

Beliau berkata, Program Rumah Bina Baharu Veteran ATM ini dilaksanakan melalui kerjasama JHEV ATM dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) manakala Bantuan Baik Pulih Rumah Veteran ATM di tanggung sepenuhnya oleh JHEV ATM.

"Kita berharap menjelang bulan Mac atau April tahun ini, kita sudah boleh memulakan kerja-kerja membina dan membaik pulih rumah berkenaan, di samping menyelesaikan projek rumah terbabit yang dilaksanakan tahun lalu," katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Bina Baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM, di Kampung Sentosa, Paroi, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel (Bersara) Azwadi Jamian dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sembilan, Datuk Adnan Ahmad.

Program ini sebahagian daripada siri jelajah Program Veteran MADANI (PVM) 2026, dengan mengadakan kunjungan kebajikan ke atas Veteran ATM di sekitar Paroi.

PVM adalah inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang dilaksanakan oleh JHEV ATM dalam usaha mendekati golongan Veteran ATM secara bersemuka sekali gus mengenal pasti keperluan sebenar golongan ini serta mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif yang telah dilaksanakan.

Sepanjang program, YB Timbalan Menteri Pertahanan telah menyantuni 15 Veteran ATM yang terdiri daripada Veteran Asnaf, Balu Veteran ATM dan Anak Veteran ATM kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Image from: JHEV peruntuk RM8 juta bina baharu, baik pulih rumah veteran ATM tahun ini
Foto oleh MINDEF

Selain bertanya khabar, turut disampaikan adalah sumbangan Rahmah, Bantuan Perubatan dan Peralatan Pesakit kepada setiap keluarga yang dilawati.

Dalam majlis di Paroi itu, dua orang Veteran ATM dan seorang Balu Veteran ATM menerima replika kunci rumah masing-masing membabitkan Puan Ruslinda binti Zakaria, Encik Ghazali bin Suntong dan Encik Shafie bin Mohamad.

YB Adly bin Zahari berkata, sehingga Disember 2025, sebanyak 32 Permohonan Rumah Bina Baharu dan 316 Permohonan Baik Pulih Rumah Veteran ATM telah diluluskan membabitkan peruntukan berjumlah RM 7.243 juta.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan pula, JHEV ATM telah meluluskan tiga buah Rumah Bina Baharu yang telah siap dibina, manakala 33 buah rumah telah dilaksanakan kerja baik pulih, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 748,000.00 atau 10.32 peratus daripada peruntukan perumahan JHEV ATM.

"Kementerian secara konsisten telah berusaha untuk meningkatkan peruntukan Bantuan Perumahan Veteran ATM ini di mana sejak tahun 2021 iaitu dari RM 4.86 juta kepada RM 7.243 juta pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus," katanya.

Image from: JHEV peruntuk RM8 juta bina baharu, baik pulih rumah veteran ATM tahun ini
Foto oleh MINDEF

Terdahulu dalam ucapannya, YB Adly bin Zahari berkata, bagi tahun 2026, kerajaan telah memperuntukkan RM 303.3 juta kepada JHEV ATM.

Beliau berkata, ini merupakan satu peningkatan yang konsisten sejak tahun 2022 dan dari jumlah itu sebanyak RM 274.4 juta iaitu 90 peratus akan disalurkan secara langsung untuk manfaat kebajikan komuniti Veteran ATM.

"Ini merupakan tahun keempat saya melaksana Program Veteran ATM Madani. Program ini telah saya perkenalkan sejak tahun 2023 dan sehingga hari ini, sebanyak 50 siri PVM telah dilaksanakan dengan lebih daripada 500 veteran disantuni secara individu di seluruh negara," katanya.

Image from: JHEV peruntuk RM8 juta bina baharu, baik pulih rumah veteran ATM tahun ini
Foto oleh MINDEF

Sementara itu, Ruslinda, 60, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terharu kerana dapat mendiami rumah yang selesa hasil bantuan JHEV.

Ibu tunggal yang mempunyai tujuh orang anak termasuk tiga anak angkat berusia antara 13 hingga 30 tahun berkata, dia kini tidak perlu lagi menyewa rumah untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, suaminya yang pernah berkhidmat dengan pasukan Tentera Darat selama 10 tahun meninggal dunia tahun lalu kerana masalah jantung.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada JHEV ATM kerana membantu membina rumah ini, Alhamdulillah..impian memiliki rumah sendiri akhirnya dimakbulkan Tuhan, namun rasa sedih kerana suami tidak dapat menyaksikan hari istimewa ini," katanya.