Jijik! Pusat Sembelihan Dekat Cheras Diarah Tutup, Ayam Diletak Atas Lantai

14 Sep 2022 • 4:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pihak berkuasa terpaksa menutup sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak dekat Cheras, selepas mendapati keadaan di dalamnya yang menjijikkan. - Gambar dari media sosial

KUALA LUMPUR - Lantai dan dinding di ruang proses berkarat, berlumut, berdaki hitam dan kotor.

Begitulah keadaan sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak dekat Cheras di sini yang berjaya dibongkarkan menerusi satu operasi serbuan yang dijalankan semalam.

Operasi itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

image is not available
Keadaan di sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak dekat Cheras, yang menjijikkan sehingga terpaksa ditutup.

Jurucakap DBKL memaklumkan, hasil pemeriksaan bersama 21 anggota mendapati premis itu berada dalam keadaan daif selain hampir semua pekerja warga asingnya tidak menerima suntikan tifoid.

“Premis itu juga melakukan pelbagai kesalahan dengan mengabaikan aspek kebersihan, termasuk meletakkan atau memproses ayam mentah di atas lantai.

“Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati premis itu tiada sistem penapisan sisa efluen atau air terawat malah sisa fizikal dan darah tanpa dirawat terus dialirkan ke saliran dan longkang awam,” katanya hari ini.

Menurut beliau, tandas di permis itu juga kotor dan tiada kelengkapan asas.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemilik premis terbabit dikenakan dua kompaun mengikut Undang-Undang Kecil 23(3)(b)- UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Amaran dan nasihat berhubung kehendak-kehendak kesihatan yang perlu dipatuhi telah diterangkan kepada pelesen dan pekerja premis.

"Notis Perintah Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 dikeluarkan bagi tujuan pembersihan dan penambahbaikan berkuatkuasa serta-merta hingga pemeriksaan susulan akan dijalankan," katanya.

Ujarnya lagi, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengambil sampel air untuk dianalisa serta penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127. – Getaran, 14 September 2022