‘Jika tergilakan jawatan Ketua Pembangkang, namakan Muhyiddin sebagai calon’ Wan Saiful cabar Tun Faisal

LocalPolitics
2 Mar 2026 • 1:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang lebih menumpukan fokus untuk menggantikan Ketua Pembangkang sedangkan lebih banyak isu besar yang sedang melanda dunia dan negara ketika ini.

Menurut Wan Saiful, dendam terhadap Hamzah tidak pernah padam justeru beliau mencabar Tun Faisal supaya menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Pembangkang atau boleh mencalonkan Datuk Radzi Jidin.

“Jika tergilakan jawatan Ketua Pembangkang, saya cabar Tun Faisal namakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Pembangkang. Sebelum ini berani sangat nak calonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Takkanlah pengecut untuk mencalonkan sebagai Ketua Pembangkang?

“ Atau paling tidak, sila calonkan operator utama Bersatu dalam Parlimen hari ini, iaitu Radzi Jidin. Biar satu dunia saksikan adakah calon Bersatu itu boleh dapat lebih dari lima undi di kalangan Ahli Dewan Rakyat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful mengulas mengenai desakan Tun Faisal yang menggesa supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang demi memelihara maruah dan integriti diri, prinsip berparti dan sekiranya mempunyai perasaan malu.

“Akur dan menerima status Ahli Parlimen Bebas serta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang adalah langkah profesional dan beretika yang mencerminkan maruah, tanggungjawab, dan prinsip politik yang tinggi,’’ kata Tun Faisal.

Menurut Wan Saiful, isu utama ketika ini ialah mengenai pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei selain kebimbangan dunia mengenai pergolakan di kawasan teluk dan timur tengah.

Sementara di dalam negara pula, katanya, adalah mengenai isu besar mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya serta had tempoh jawatan Perdana Menteri.

“Saya harap Tun Faisal teruskan memberi kenyataan sebegitu supaya rakyat nampak lebih jelas kualiti sebenar mereka yang tinggal dalam Bersatu,’’ katanya.

Wan Saiful turut berharap Ahli-Ahli Dewan Rakyat pembangkang terus memberi fokus kepada isu-isu besar yang melanda dunia dan negara kerana itu perjuangan sebenar iaitu mengangkat agenda rakyat dan negara.

“Biarkanlah Bersatu terus berusaha memecah belah kesatuan Perikatan Nasional dengan kritikan berterusan terhadap PAS, tetapi kita mesti terus berjuang dan mara ke hadapan,’’ katanya. - 2 Mac, 2026

The post ‘Jika tergilakan jawatan Ketua Pembangkang, namakan Muhyiddin sebagai calon’ Wan Saiful cabar Tun Faisal appeared first on Scoop.