‘Jika UMS jatuh, runtuhlah masa depan Sabah’

LocalPolitics
29 Sep 2025 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Masa depan anak-anak Sabah akan terjejas sekiranya Universiti Malaysia Sabah (UMS) dibiarkan berjuang menghadapi tekanan kewangan sendirian tegas Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada Khamis.

Berucap pada Program Karisma Pemikir Madani Rahman berkata UMS bukan sekadar institusi pengajian tinggi sebaliknya merupakan talian hayat strategik untuk Sabah.

“Lebih 60 peratus pelajar UMS adalah anak Sabah. Jika universiti ini goyah masa depan anak-anak kita sendiri yang akan menanggung akibatnya.

“Walaupun universiti awam berada di bawah bidang kuasa Persekutuan saya menegaskan kerajaan Sabah tidak boleh berdiam diri ketika UMS menghadapi apa yang disifatkannya sebagai tekanan kewangan sebenar dan tidak dapat dinafikan,” katanya.

Beliau menggesa langkah proaktif diambil dengan mencadangkan agar UMS dibenarkan menceburi perniagaan berisiko rendah seperti pengagihan gas serta industri mempunyai pembekal sedia ada dan pasaran terjamin yang mampu menjana pendapatan mapan tanpa membebankan kerajaan.

Rahman turut menekankan agar anak syarikat UMS diberikan peranan dalam projek mega negeri bernilai RM30–40 bilion dengan menyatakan bahawa sebahagian kecil daripada kontrak tersebut sudah cukup untuk mengurangkan kebergantungan kewangan universiti.

“Ini bukan soal Sabah mengambil alih tanggungjawab Putrajaya. Ini soal tanggungjawab bersama. UMS mendidik anak-anak Sabah dan jika UMS menderita Sabah juga akan menderita,” katanya.

Bekas menteri Persekutuan itu turut menggesa UMS menyesuaikan diri dengan menawarkan program mikro-kredensial dan pembelajaran dalam talian yang menurutnya dapat mengurangkan kos infrastruktur sambil memperluas akses pelajar di seluruh rantau ini.

Rahman juga memberi peringatan kepada syarikat korporat besar di Sabah.

Beliau menuntut agar dana CSR daripada syarikat utama disalurkan secara strategik untuk menyokong UMS bukan sahaja dalam bentuk biasiswa tetapi bagi tujuan penyelidikan serta kelestarian operasi.

“Universiti tidak boleh beroperasi hanya berasaskan niat baik. Ia memerlukan pelaburan sebenar dan sektor korporat Sabah mesti tampil jika benar mereka peduli tentang masa depan negeri ini.

 “Tolong faham dengan jelas,UMS tidak boleh tersungkur. Jika UMS jatuh masa depan Sabah turut jatuh bersamanya,” tegas Rahman menutup ucapannya dengan seruan dramatik agar pemimpin negeri, pihak berkuasa Persekutuan dan sektor swasta bersatu.