Jimat RM300 naik ECRL balik Kelantan

20 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jimat RM300 naik ECRL balik Kelantan

GOMBAK – Perantau dari Kelantan dan Terengganu yang tinggal di sekitar Ampang, Gombak dan Rawang boleh berjimat sehingga RM300 sekiranya menaiki Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk pulang ke kampung halaman bermula pertengahan Disember ini.

Penjimatan itu sekiranya mereka menolak kos pengangkutan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang atau Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Tambang e-hailing untuk ke dua lokasi itu boleh mencecah antara RM70 hingga RM100 sehala bergantung kepada jarak, waktu perjalanan dan permintaan.

Pengumuman tam­bang bermula RM125 sehala dari Gombak ke Kota Bharu dan RM95 ke Kuala Terengganu sememangnya menawarkan pilihan perjalanan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penerbangan atau kenderaan persendirian.

Mazni Abdul Azhar, 40, berkata, ECRL memberikan pilihan baharu buat perantau yang mahu pulang ke Pantai Timur tanpa perlu menanggung pelbagai kos perjalanan tambahan.

Katanya, sebelum ini dia perlu memikirkan kos e-hailing dari Ampang ke KLIA yang mencecah harga RM108 sehala ketika waktu puncak.

“Jika naik ECRL untuk balik kampung, saya boleh terus ke Gombak dan tambangnya e-hailing lebih murah. Sekurang-kurangnya saya ada pilihan lain untuk dibandingkan dari segi kos dan keselesaan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Mazni, kemudahan itu memberi kelebihan kepada­nya sebagai perantau solo serta buat mereka yang tinggal sekitar Gombak seperti Ampang, Ra­wang kerana akses ke Stesen ECRL lebih dekat.

“Saya malas pandu kereta sebab cepat mengantuk dan mengharapkan kapal terbang. Lepas ini kos akan jadi lebih murah buat saya. Jika ada hal kecemasan, harga tiket kapal terbang lebih mahal berbanding ECRL dan boleh jimat RM100,” katanya.

Ramli Tahar, 62, pula berkata, pemberian diskaun 50 peratus kepada pesara kerajaan merupakan satu kelebihan jika mahu pulang ke kampung atau me­ngunjungi anak-anak di Pantai Timur.

“Apabila sudah bersara, kita perlu lebih berjimat kerana pendapatan tidak lagi seperti ketika masih bekerja. Jadi, diskaun ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan perjalanan, terutama jika mahu pulang ke kampung beberapa kali setahun.

“Selain tambang lebih rendah, saya juga tertarik dengan kemudahan tren yang membolehkan penumpang berehat sepanjang perjalanan tanpa perlu memandu jauh,” katanya.

Rudiyana Ahmad, 50, yang menetap di Bangi berkata, tambang bermula RM125 boleh dite­rima daripada terpaksa menghadap sesak sehingga 12 jam ketika musim cuti atau perayaan.

“Bagi orang Kuantan dan Terengganu, cukup berbaloi. Harap ada diskaun jika hari biasa,” katanya.

Bagaimanapun, Rudiyana berharap tambang e-hailing dan teksi di stesen terlibat tidak terlalu tinggi selain harga makanan di kawasan sekitar berpatutan dan tidak membebankan pengguna.

“Biasa awal-awal ini memang akan ada masalah itu,” ujarnya.

Sementara itu, Akmal Alias, 49, berkata, dia sekeluarga tidak akan melepaskan peluang mendapatkan tiket ECRL yang ditawarkan pada harga diskaun untuk pelajar dan warga emas untuk pulang ke Kuala Terengganu.

“Saya dan isteri biasanya lebih suka memandu sendiri, tetapi saya juga mahu beri pengalaman kepada anak-anak menaiki ECRL untuk pulang ke kampung,” katanya.

The post Jimat RM300 naik ECRL balik Kelantan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved