
Jin, anggota kumpulan BTS yang terkenal, mencipta sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan sebagai pembawa obor pertama Sukan Olimpik Paris 2024, bertepatan dengan Hari Bastille, Hari Kebangsaan Perancis. Penglibatan ahli BTS, Jin dalam acara berprestij ini bukan sahaja memperlihatkan pencapaiannya sebagai seorang artis global, tetapi juga mencerminkan pengaruh budaya K-pop di persada antarabangsa.
Sebagai bintang Korea Selatan, Jin terus menerus mengukir kejayaan dalam industri muzik dan kini, dengan peranan membanggakan ARMY (nama kelab peminat BTS) ini, dia berjaya memahat namanya dalam sejarah Sukan Olimpik. Ayuh, ketahui info lanjut tentang momen cukup bersejarah ini menerusi artikel di bawah.
Ahli BTS, Jin cipta sejarah sebagai pembawa obor pertama

Sekitar pukul 8 malam waktu tempatan di Pyramid of the Louvre Museum semalam, figura bintang global itu dilihat membawa obor untuk Sukan Olimpik Musim Panas Paris 2024, disambut oleh ramai peminat yang bersorak.
Terdahulu, Dispatch melaporkan Jin atau Kim Seok Jin, 32, telah terbang ke Perancis bagi upacara bersejarah tersebut. Turut dimaklumkan, Jin mengetuai larian membawa obor tersebut bersama 11,000 individu lain dalam kalangan atlet dari seluruh dunia, mangsa peperangan, angkasawan termasuk pekerja am.
Obor yang mula dinyalakan di Greece sudah pun tiba di Perancis bulan lalu dan bakal menjelajah 400 lokasi sekitar 12,000 kilometer sebelum tiba di temasya pembukaan.
ARMY tumpang bangga, terharu melihat pencapaian idola mereka

Sementara itu, peminat Jin meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian penyanyi itu dan menganggap pemilihannya adalah luar biasa. Malah mereka menyifatkan Jin cukup beruntung dapat melibatkan diri dalam acara sukan terbesar dunia walaupun baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan pada 13 Jun lalu.
Pada hari bersejarah tersebut, ARMY dilihat memegang papan tanda tulisan tangan dalam bahasa Korea yang tertera, “Selamat datang, Seok-jin, I Love You,” “Run, Seok-jin” dan “Good luck, Seok-jin,” bersama-sama dengan bendera kebangsaan Korea.
BTS’ Jin holds the Olympics Torch.pic.twitter.com/qNhwx2hT1o
— About Music (@AboutMusicYT) July 14, 2024
Malah, ketika ahli BTS, Jin keluar dari pusat penyampaian obor di muzium sekitar jam 8 malam, orang ramai turut bersorak meriah sambil melaungkan namanya. Jin, dengan senyuman manis, melambai kepada peminatnya, menandakan dia maklum akan kasih sayang dan sokongan mereka.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat mengambil bahagian dalam larian obor hari ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada ARMY dan semua peminat yang membolehkan saya membawa obor ini,” kata Jin selepas melengkapkan larian obor, menurut agensinya.
11 hari lagi sebelum Olimpik bermula

Buat makluman, larian obor domestik Perancis, yang bermula 8 Mei di Marseille, selatan Perancis, telah dijalankan selama lebih dua bulan. Obor Olimpik, yang tiba di Paris pada Ahad, akan melalui pelbagai bahagian di ibu negara Perancis sehingga Isnin dan kemudian kembali ke wilayah sebelum kembali ke Paris untuk upacara pembukaan pada 26 Julai.
Sukan Olimpik Paris 2024 bakal berlangsung bermula 27 Julai sehingga 11 Ogos depan membabitkan 15,000 atlet dari 206 negara. Korea Selatan bakal mempertaruhkan 142 atlet menerusi 21 acara dan bakal terbang ke Paris pada 9 Julai ini.
Moga artikel ini bermanfaat bagi anda semua.
Kredit: Dispatch, All Kpop
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia


