KEMAMAN - Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas dipercayai terkena tembakan senapang angin milik jirannya dalam kejadian di Felda Seberang Tayor di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, mangsa yang merupakan murid Tahun Empat sedang bermain bersama abangnya di hadapan rumah sebelum tiba-tiba mengadu sakit sejurus selepas bunyi letupan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pemeriksaan oleh ibu bapa mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian bawah bahu kiri kanak-kanak berkenaan.
"Bapa mangsa kemudiannya menemui sebiji bebola besi berwarna perak di kawasan tersebut dan mengesyaki objek itu dilepaskan daripada senapang angin milik jiran mereka.
"Susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa jam 5 petang, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurut Mohd Razi, hasil penahanan suspek membawa kepada penemuan dua laras senapang angin buatan sendiri berukuran 123 sentimeter (cm) dan 107cm selain sembilan biji bebola besi.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah rumah mangsa yang terletak kira-kira 40 meter dari kediamannya.
"Bagaimanapun, suspek mendakwa tidak menyangka tembakan itu mengenai mangsa," jelasnya.
Tambah beliau, suspek turut mendedahkan salah satu senjata tersebut dibeli menerusi platform dalam talian pada tahun lalu, manakala selaras lagi dihasilkan sendiri bagi tujuan menembak burung.
Mengulas lanjut Mohd Razi berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis morfin.
Jelas beliau, mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan manakala suspek kini direman selama empat hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

