SELEPAS dua tahun berehat daripada menganjurkan program bersama rakan artis, penyanyi rock era 1990-an, Nizam Laksamana bakal mengadakan semula ‘showcase’ amal pada 3 Oktober depan.
Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana dan Kawan-Kawan 5.0 membariskan penyanyi terkenal tanah air antaranya Zamani Slam, Tam Spider, Azmani, Hazama, Haiza dan kumpulan UNIC yang bakal menjanjikan kelainan.
Nizam atau nama sebenarnya, Mohd Nizam Pechok, 60, berkata, persembahan berkonsepkan nyanyian santai itu kali terakhir dianjurkan pada 1 Jun 2024 dinamakan Showcase Amal Artis Legenda 4.0.
Ujar pelantun Gugurnya Bunga Cinta itu, siri kelima itu dibuat atas permintaan dan desakan rakan seangkatan susulan kejayaan showcase amal terdahulu.
“Kali ini kami bekerja lebih keras untuk jayakannya memandangkan ekonomi semasa tidak menentu dan kami perlu hebahkan acara ini lebih awal.
“Rancangan untuk menjual meja juga tidak boleh terlalu mahal tapi berpatutan dan bermanfaat kerana showcase amal ini bertujuan menghibur serta mengasihi golongan orang kurang upaya (OKU), penghidap autisme, pesakit kanser kanak-kanak, termasuk membantu rakan industri.
"Daripada hasil jualan meja amal nanti akan diperuntukkan juga sumbangan buat persatuan yang membantu menguruskan kumpulan sasar ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Karangkraf, di sini baru-baru ini.
Mengakui pada mulanya berdepan masalah kekurangan modal untuk penganjuran akan datang, anak kelahiran Seremban itu bagaimanapun tetap optimis dan percaya dengan rezeki Tuhan.
Mana tidaknya, sekitar dua minggu lalu beliau didatangi seorang rakan bertanyakan status penganjuran kali kelima selepas menyepi seketika.
“Selepas jelaskan masalah sebenar, individu terbabit sudi keluarkan modal untuk showcase 5.0 ini.
"Memang agak terkejut... Katanya bukan main-main dan beliau sendiri meminta kami bekerjasama untuk menganjurkannya selain mencari artis yang sesuai untuk showcase ini.
“Insya-ALLAH, kali ini penganjur meletakkan tanda aras agak tinggi dan hasil kerja yang tersusun rapi demi kepuasan peminat kerana sebelum ini segala showcase kami tak ada penaja pun,” jelasnya.
Dalam masa sama, Nizam memasang harapan tinggi jika ada pihak yang sudi tampil menaja atau membeli meja demi bersama-sama membantu meringankan sedikit sebanyak kesempitan dan kesusahan dihadapi kanak-kanak OKU, penghidap autisme serta pesakit kanser kanak-kanak.
Dibawakan khas oleh Zara Event & Management, Noah Ballroom Wisma LJT Taman Melawati bakal menjadi lokasi penganjuran showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana dan Kawan-Kawan 5.0 bermula jam 8 hingga 11 malam.
Penggemar lagu rock leleh dan tangkap cintan merentasi zaman boleh mendapatkan meja kategori ‘Silver’ untuk 10 orang hanya RM1,700 manakala meja ‘Gold’ pada harga RM5,000.
Bagi yang menginginkan pengalaman lebih eksklusif bersama artis kegemaran, digalakkan menempah meja kategori ‘Platinum’ berharga RM10,000 untuk lapan orang.

