YAN - Bunyi deruan ombak sudah cukup membuatkan jiwa tenang dan hati terasa nyaman, tambahan pula melihat keindahan panorama Pulau Songsong yang merupakan salah satu gugusan pulau di Daerah Yan, Kedah.
Selain Songsong, Yan juga memiliki Pulau Telur, Bidan dan Bunting yang tidak kurang hebatnya dari segi tarikan pelancongan.
Terletak kira-kira 4.5 batu nautika dari Jeti Sungai Udang, perjalanan menaiki bot ke Pulau Songsong mengambil masa sekitar kira-kira 30 minit, bergantung kepada keadaan cuaca dan ombak.
**media[3536390]**
Pemandu Pelancong Geopark, Muhammad Ali Sobri berkata, Pulau Songsong memiliki khazanah alam yang tidak ternilai dan masih terpelihara hingga kini.
“Tidak hairanlah pulau ini menjadi tarikan pelancong dari pelbagai negeri yang terpesona dengan keindahannya dan ingin kembali menikmati suasananya,” katanya.
Menurutnya, pulau berkenaan turut mempunyai hamparan batu kawi merah yang kelihatan ketika air surut, hasil formasi batuan berusia lebih 450 juta tahun.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kampung Keda Kuala Sungai Udang Berhad, Zainol Che Mat berkata, Pulau Songsong kaya sumber semula jadi termasuk terumbu karang dan hidupan marin lain.
Menurutnya, aktiviti air dan rekreasi di pulau berkenaan diuruskan Koperasi Kampung Keda Kuala Sungai Udang Yan.
**media[3536391]**
"Pengunjung boleh menggunakan bot dari Jeti Sungai Udang untuk ke Pulau Songsong, berehat atau bermalam di pulau, ataupun bermalam di chalet yang disediakan sekitar Daerah Yan,” jelasnya.
Pelancong, Anis Hanim Ahmad, 39, berkata, kecantikan Pulau Songsong tiada bandingannya, membuatkan hati tenang dan tenteram.
“Kampung tidak jauh dari sini. Sesekali kami sekeluarga pulang dan datang berkumpul di sini bagi menghilangkan tekanan kerja.
“Kos ke pulau ini juga berpatutan berbanding pulau peranginan lain, selain menawarkan keindahan yang luar biasa dan berbaloi,” katanya.
**media[3536392]**
Seorang lagi pelancong, Chan Ah Thong, 45, berkata, terumbu karang di Pulau Songsong setanding dengan pulau pelancongan lain yang terkenal dan diiktiraf.
“Pulau ini masih semula jadi tanpa pencemaran atau aktiviti yang merosakkan ekosistem.
“Saya sendiri suka aktiviti snorkeling dan yakin jika dijaga dengan baik, ia mampu menjadi antara destinasi pelancongan terbaik di sini,” katanya.

