Dahulu kami menguruskan sebuah pusat komuniti khusus untuk komuniti miskin tegar dan gelandangan di Kuala Lumpur. Salah seorang klien kami adalah seorang ibu tunggal bernama Endah (bukan nama sebenar). Endah bekerja secara sambilan di kedai makan dan mengutip barangan lusuh untuk dijual kepada peraih. Pendapatannya sekadar memenuhi keperluan asas keluarga, selebihnya memerlukan bantuan tambahan bagi memastikan dua anak perempuannya terus bersekolah. Kedua-dua anaknya pula memiliki pencapaian yang baik dalam pelajaran. Namun terdapat perbezaan sikap yang ketara. Anak kedua agak sopan dan pemalu. Namun anak pertama agak ‘keras’, tidak suka dinasihati dan suka menghabiskan masa bersama rakan sebayanya. Suatu hari anaknya memberikannya kata dua, “Kalau mak nak saya berjaya, mak jangan lagi tegur apa yang saya buat!”. Endah tersentak! dia hanya mampu membisu. “Mak!! Kau dengar tak?” Remuk hati Endah ditengkingnya. “Baik! Mak setuju, tetapi dengan satu syarat.” Endah memandang anaknya tepat. “Ok. Boleh! Mak cakap apa saja. saya Ok. Yang penting selepas ni tak ada marah-marah, tak ada tak puas hati lagi.” Jawab anaknya. “Mak akan ikut kamu ke mana saja kamu pergi.” Giliran anaknya pula terdiam. Rasa terperangkap dengan kesediaannya untuk menerima apa sahaja syarat. Perlahan-lahan dia bersuara, “Baik.. tapi ingat! jangan nak tegur-tegur saya buat apa!.” Mulai saat itu Endah menuruti ke mana sahaja kaki anak dan rakan-rakannya melangkah. Dia duduk bersama-sama di tangga pasaraya, memerhatikan mereka beraksi di kedai permainan video, menyanyi di pusat karaoke dan berjalan ke sana sini tanpa arah tujuan. Sakit dan pedih kakinya mengikut langkah pantas anak dan rakan-rakannya, namun lagi sakit dan pedih jiwanya melihat segala perlakuan anaknya yang hanyut dalam keseronokan. Walau apa pun tidak dinafikan, kehadiran tanpa suaranya itu, sedikit sebanyak mengawal perlakuan yang boleh mendatangkan kemudaratan lebih besar. Syukur juga, anak-anak ini masih ada rasa malu, masih hormat dan sedar dengan kehadirannya. Lama kelamaan segala tindakan atau di mana sahaja destinasi mereka, mereka akan merujuk pada Endah terlebih dahulu. Endah dilayan dengan baik sehingga mereka semua memanggilnya ‘ibu’. Kadangkala mereka sendiri memarahi anaknya jika terdapat tindakan yang tidak wajar dilakukan kepada Endah. Tidak lama kemudian anaknya mula merasakan yang Endah mula melebihkan orang lain dari dirinya. Akhirnya anaknya sendiri membuat keputusan untuk menghentikan hobinya itu dan kembali fokus pada pelajaran. Alhamdulillah.
Endah, jiwanya seteguh karang. Batu karang meskipun kelihatan kecil, ia tidak akan menganjak dan terhakis apabila dihempas ombak. Malah ombak itu sendiri membuatkannya terus kukuh, teguh dan bertahan. Ombak diumpamakan sebagai ujian hidup. Semakin ombak menghempas, semakin ia menyakitkan, semakin menggoyah kesabaran dan menginjak-injak keimanan. Namun jiwa seteguh karang ini kekal bertahan, malah semakin teguh, sabarnya semakin ampuh dan imannya semakin kukuh. Demi sayangkan anak, sanggup Endah mengambil keputusan yang seperti tidak masuk dek akal malah ia cukup meletihkan dan menyakitkan. Namun akhirnya keputusan tersebut telah membuahkan hasil yang amat diharapkan. Sungguh! Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang.
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
