JKDM Kelantan tumpas cubaan seludup dadah bernilai RM3.32 juta sejak 2019

15 May 2023 • 11:17 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas dadah jenis methamphetamine dan ganja mampat bernilai RM3.32 juta setakat ini sejak 2019, kata Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (gambar).

Beliau berkata kesemua rampasan itu adalah daripada lapan kes yang dicatatkan dan berlaku di lokasi berlainan dekat sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata antara dadah yang dirampas 271,305 biji pil methamphetamine bernilai RM2.7 juta dan ganja mampat seberat 248 kilogram (kg) bernilai RM620,000.

“Setiap kes yang diperoleh mendapati dadah tersebut dibawa masuk melalui sempadan negara atas permintaan semasa, ini bermakna dadah tersebut akan dibawa masuk ke dalam negara jika ada permintaan daripada pelanggan sahaja,“ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata pihaknya sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan serta risikan di semua pintu masuk dan sempadan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah.

“Kami tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyeludupan yang berlaku dan kepada sesiapa yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Pihak kami juga akan sentiasa bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan di sempadan bagi membanteras cubaan membawa masuk dadah ke negara ini,“ katanya.

Beliau berkata orang awam diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. -Bernama