JKDM Melaka rampas 264 basikal elektrik import tanpa lesen sah

10 May 2023 • 4:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka merampas sebanyak 264 basikal elektrik bernilai RM742,479.53 termasuk cukai, yang diimport tanpa lesen sah di sebuah syarikat pembekal kenderaan itu di Kawasan Perindustrian Tasik Utama di sini pada 27 Feb lepas.

Pengarah JKDM Melaka Norlela Ismail berkata basikal elektrik berkenaan dirampas kerana lesen import yang diperoleh syarikat itu daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri diikrar sebagai komponen basikal, disalah guna pemilik syarikat terbabit dengan mengimport basikal elektrik yang telah lengkap dipasang.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 5 petang itu, pemilik yang juga pengurus besar syarikat berkenaan berumur 50-an turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati syarikat atau kilang tersebut telah beroperasi lima tahun dan basikal elektrik berkenaan diimport dari China dan dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang di Selangor.

“Kita telah melakukan risikan selama enam bulan sebelum serbuan dilakukan berdasarkan maklumat dalaman yang diperoleh dan rampasan melibatkan basikal elektrik ini adalah yang pertama di Melaka,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata basikal elektrik berkenaan dijual antara RM1,000 hingga RM1,500 sebuah dan kenderaan itu diimport untuk dijual di pasaran sekitar Melaka.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Norlela berkata JKDM Melaka berjaya menumpaskan 65 kes penyeludupan di negeri itu membabitkan nilai lebih RM8.8 juta termasuk cukai dalam tempoh enam bulan sejak Disember tahun lepas.

Beliau berkata rampasan basikal elektrik itu antara empat kes penyeludupan terbesar berjaya ditumpaskan di Melaka selain tiga lagi kes membabitkan rampasan minuman keras, rokok dan topi keledar dalam tempoh itu membabitkan nilai lebih RM6.5 juta termasuk cukai. -Bernama