JKDM Perak patah cubaan seludup minuman keras bernilai lebih RM500,000

3 Jan 2024 • 8:07 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup hampir 4,000 botol minuman keras pelbagai jenis, dengan nilai duti atau cukai kira-kira setengah juta ringgit dalam serbuan di ICIC Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, 28 Dis lalu.

Pengarah JKDM Perak Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan berjaya menemukan sebanyak 2,880 liter minuman keras pelbagai jenama, dengan anggaran nilai duti/cukai berjumlah RM515,196.00 yang disyaki barang tak berkastam dan disimpan di dalam pelabuhan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Ghafor berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama dan jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen 135(1)(v)(aa).

Beliau berkata bagi kesalahan pertama ia boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM 500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata pihaknya turut mendapati masih terdapat lambakan produk seperti rokok dan minuman keras dibawa masuk ke Malaysia, selain dijual secara berleluasa menerusi platform dalam talian.

“Meskipun masih terdapat produk yang tidak berkastam lolos masuk ke dalam negara, namun JKDM akan terus komited serta berusaha membanteras pengimportan produk-produk secara haram ini,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai membantu menyalurkan maklumat sekiranya terdapat mana-mana individu menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

“Orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat kastam berhampiran di semua negeri,” katanya. -Bernama