
SEPANG: Taktik menyeludup masuk rokok bernilai RM1.34 juta dengan mengisytiharkan sebagai barang kelengkapan tempat tidur dan selipar berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi dua serbuan berasingan di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, dalam kes pertama pada 29 Julai lalu, pemeriksaan terhadap sebuah gudang di zon perdagangan bebas berkenaan menemukan 410,000 batang rokok putih bernilai RM392,752 termasuk duti dan cukai yang disyaki tidak berkastam.
“Dipercayai rokok ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat sebelum dipasarkan untuk pasaran tempatan.
“Modus operandi kes tersebut ialah dagangan diikrar sebagai ‘garments bed linen’ (pakaian dan kelengkapan tidur) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa serta dikenakan permit import,” katanya menerusi sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini hari ini.
Menurutnya, syarikat pengendali penghantaran barang dagangan berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Aspalila berkata, dalam kes kedua pada 30 Julai lalu, JKDM KLIA telah merampas 1.12 juta batang rokok putih bernilai RM948,640 termasuk duti dan cukai.
Jelasnya, siasatan mendapati rokok terbabit tiba di Malaysia dari sebuah negara di Asia untuk tujuan transit.
“Dipercayai rokok terbabit akan dihantar ke salah sebuah negara di rantau Oceania. Bagi kes ini, dagangan diikrar sebagai ‘slippers’ bagi mengelak untuk dikesan pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan permit import,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 35D(2) akta sama.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang awam agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. – UTUSAN
The post JKDM rampas rokok bernilai RM1.34 juta diikrar kelengkapan tidur, selipar appeared first on Utusan Malaysia.






