JKDM serbu stor ladang sawit proses minuman keras

LocalBusiness & Finance
6 Feb 2026 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rohaizad menunjukkan minuman keras tiruan yang dirampas dalam satu operasi di Sungai Dua, Pulau Pinang. Foto Bernama
image is not available
Rohaizad (kanan) menunjukkan peralatan memproses minuman keras yang berjaya dirampas dalam satu operasi di Sungai Dua. Foto Bernama

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menyerbu sebuah stor dalam ladang kelapa sawit di Sungai Dua, di sini yang dijadikan kilang pemprosesan minuman keras tidak bercukai pada 6 Januari.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, serbuan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan hasil maklumat dan risikan itu menemukan botol dilekatkan label pelbagai jenama mengandungi cecair disyaki minuman keras.

"Pemeriksaan juga menemukan tong berisi etanol serta pelbagai peralatan digunakan untuk memproses minuman keras seperti gulungan setem cukai kastam palsu, alat membungkus, mesin pemasang penutup dan pelekat label.

"Sebanyak 10,391 botol atau 4,208.7 liter minuman keras jenis wiski ditemukan disyaki tidak berkastam bernilai RM717,963 termasuk cukai RM516,072,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini pada Jumaat.

**media[3425851]**

Rohaizad berkata, sebahagian daripada minuman keras itu telah ditampal setem cukai kastam, namun semasa serbuan premis tersebut tidak berpenghuni.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik premis dan berdasarkan bil utiliti ia didaftarkan atas nama individu warga tempatan,” katanya.

Rohaizad berkata, pihaknya telah menyita semua minuman keras itu yang dipercayai untuk pasaran tempatan. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976. - Bernama