Pelarasan fiskal bukan kecelakaan pendidikan tinggi, JKNCR UA jawab dakwaan politik

LocalPolitics
8 May 2026 • 11:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelarasan fiskal bukan kecelakaan pendidikan tinggi, JKNCR UA jawab dakwaan politik
Pengurusan pendidikan tinggi negara tidak boleh diulas secara simplistik demi keuntungan politik jangka pendek. Gambar hiasan (Gambar kecil: Md Amin)

SEBAGAI seorang yang pernah memegang jawatan kerusi Naib Canselor universiti awam, seorang ahli politik sepatutnya memahami bahawa pengurusan pendidikan tinggi negara tidak boleh diulas secara simplistik demi keuntungan politik jangka pendek.

Bagaimanapun, ucapan beliau di Kemaman, Terengganu pada 30 April lalu memperlihatkan kecenderungan jelas untuk mempolitikkan isu pendidikan tinggi dengan memainkan emosi rakyat, khususnya masyarakat luar bandar dan golongan B40, seolah-olah kerajaan sedang 'menjual' masa depan anak-anak miskin hanya kerana terdapat cadangan pelarasan perbelanjaan mengurus kerajaan yang antara lainnya turut membabitkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Hakikatnya, kenyataan beliau ini bercanggah dengan realiti sebenar pengurusan universiti awam. Lebih ironik, sistem saluran komersial atau saluran terbuka yang beliau kecam hari ini sebenarnya telah lama wujud ketika beliau sendiri menerajui universiti tersebut.

Maka satu persoalan besar timbul, iaitu mengapa ketika menjadi Naib Canselor beliau tidak menganggapnya sebagai “kecelakaan kepada pendidikan tinggi negara” tetapi selepas menyertai parti pembangkang, perkara yang sama tiba-tiba dijadikan modal politik?

Kenyataan terdahulu beliau pada Disember 2024 mengenai dakwaan kemasukan pelajar ke universiti awam melalui “pintu belakang” juga telah menerima bantahan terbuka daripada seluruh Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA).

Jarang berlaku dalam sejarah pendidikan tinggi negara apabila semua kepimpinan tertinggi universiti awam tampil secara kolektif untuk menafikan kenyataan seorang bekas Naib Canselor.

Pengerusi JKNCR UA ketika itu, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, secara tegas menyifatkan kenyataan ahhli politik ini sebagai tidak bertanggungjawab, mengelirukan masyarakat serta menunjukkan “kejahilan” terhadap proses kemasukan pelajar ke universiti awam.

JKNCR UA menegaskan bahawa kaedah “pintu belakang” sama sekali tidak wujud kerana pengambilan pelajar dibuat secara telus melalui sistem saringan dan merit yang ketat. Malah mereka menjelaskan bahawa saluran komersial dilaksanakan secara “over and above”, iaitu kuota arus perdana dipenuhi terlebih dahulu sebelum saluran tambahan dibuka. Ini bermaksud tempat pelajar B40 tidak dirampas seperti yang cuba digambarkan oleh ahli politik ini.

Namun lebih menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana ahli politik ini cuba mempertahankan dirinya melalui kenyataan media bertarikh 26 Disember 2024 selepas menerima kecaman besar daripada JKNCR UA.

Dalam kenyataan tersebut, beliau mendakwa ucapannya telah diambil di luar konteks dan cuba mengalihkan fokus kepada isu “cut off CGPA”, merit dan akses pelajar miskin ke program kompetitif seperti perubatan, perundangan dan kejuruteraan.

Apabila diperhalusi, terdapat beberapa kelemahan besar dalam kenyataan media beliau ini.

Pertama, ahli politik ini cuba membina persepsi bahawa kewujudan saluran komersial secara automatik “mengambil tempat” pelajar miskin yang lebih layak. Sedangkan pengambilan melalui saluran komersial hanya dibuat secara tambahan selepas kuota arus perdana dipenuhi.

Ini bermaksud saluran komersial bukan menggantikan tempat pelajar arus perdana, tetapi membuka kapasiti tambahan bagi membantu universiti menjana pendapatan sendiri.

Kedua, beliau cuba menggambarkan bahawa pelajar saluran komersial diterima masuk tanpa merit atau merit yang rendah sedangkan hakikatnya mereka masih perlu memenuhi syarat minimum akademik yang ditetapkan oleh setiap universiti.

Dalam kebanyakan kes, syarat minimum itu sendiri masih berada pada tahap yang tinggi dan kompetitif. Perbezaannya hanyalah mereka tidak bersaing dalam kelompok subsidi kerajaan yang sangat terhad.

Ketiga, kenyataan beliau mengandungi percanggahan yang ketara. Pada satu sisi beliau mengkritik universiti kerana mengenakan yuran lebih tinggi kepada pelajar saluran komersial tetapi pada masa sama beliau sendiri mengakui bahawa universiti memerlukan penjanaan pendapatan dan mencadangkan supaya diwujudkan “wing swasta” khas atau kampus khas untuk saluran tersebut.

Ini menunjukkan bahawa beliau sebenarnya mengakui keperluan model pembiayaan alternatif, cuma cuba membingkaikannya dalam bentuk retorik populis.

Hakikatnya, konsep yang beliau cadangkan itu sudah lama wujud dalam pelbagai bentuk di universiti awam melalui pusat pengajian separa profesional, program eksekutif, anak syarikat universiti dan kerjasama industri. Oleh itu, hujah beliau seolah-olah mencadangkan sesuatu inisiatif yang baharu sedangkan model tersebut sebenarnya telah pun lama diamalkan.

Keempat, beliau juga gagal menjelaskan satu perkara penting, iaitu jika benar beliau menganggap sistem itu menafikan hak pelajar miskin dan bersifat “diskriminatif”, mengapa beliau tidak membantah secara terbuka ketika menjadi Naib Canselor UUM dahulu? Mengapa tiada reformasi radikal dilakukan semasa beliau memiliki kuasa pentadbiran universiti?

Masyarakat bukan menolak hak beliau untuk bersuara, tetapi masyarakat berhak mempersoalkan konsistensi beliau. Ketika berada dalam pentadbiran universiti, beliau memahami realiti kewangan institusi pendidikan tinggi. Namun apabila menyertai politik pembangkang, isu yang sama dijadikan senjata untuk menyerang kerajaan dan membina persepsi bahawa universiti awam sedang “menjual tempat” kepada golongan kaya.

Pendekatan seperti ini boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara. Universiti awam bukan medan propaganda politik. Ia adalah institusi ilmu yang memerlukan kestabilan, kepercayaan masyarakat dan pengurusan yang berpaksikan fakta.

Dalam konteks pelarasan fiskal kerajaan hari ini, Kementerian Kewangan Malaysia telah menjelaskan dalam kenyataan rasminya bahawa pelarasan tersebut hanya melibatkan perbelanjaan mengurus yang tidak kritikal. Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan dan perkhidmatan asas rakyat tidak akan terjejas.

Justeru, cubaan ahli politik untuk mengaitkan pelarasan fiskal ini dengan naratif bahawa universiti akan “menjual tempat anak miskin kepada orang kaya” adalah satu gambaran yang melampau.

Seorang bekas Naib Canselor sepatutnya membantu masyarakat memahami realiti sebenar pengurusan universiti dan cabaran fiskal negara secara matang. Malang sekali bila beliau terus memilih untuk memainkan emosi rakyat dengan retorik politik yang bersifat sensasi.

*Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA)

View Original Article