JKR baiki jalan di Kinarut, atur pembaikan jalan di Likas

29 Sep 2026 • 4:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

JKR baiki jalan di Kinarut, atur pembaikan jalan di Likas

JABATAN Kerja Raya (JKR) telah membaiki beberapa bahagian jalan di Kinarut dan sedang mengatur tindakan untuk menangani masalah di sebuah lagi jalan di Likas.

Tindakan itu susulan maklum balas dua pemandu mengenai lubang yang terbentuk di Jalan Kelanahan di lokasi pertama selain perbezaan aras permukaan di satu bahagian Jalan Teluk Likas berhampiran simpang ke sebuah tadika di kawasan berkenaan.

Pemandu di Likas mendapati terdapat penutup lurang di bahagian bulatan permukaan jalan yang tidak rata itu sekaligus menimbulkan persoalan sama ada berlaku pembentukan lubang benam di bawah jalan berkenaan.

KAKITANGAN JPP memeriksa bahagian permukaan asfalt yang tidak rata di lokasi ruang pemeriksaan di Jalan Teluk Likas.Kedua-dua individu berkenaan memberikan maklumat berkaitan aduan mereka kepada Hotline, yang kemudiannya disalurkan kepada agensi berkaitan termasuk JKR, Majlis Daerah Papar dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

Jurucakap JKR berkata kerja-kerja pengukuhan turapan dan penurapan semula baru-baru ini dilaksanakan di Jalan Kelanahan.

Menurutnya premix diturap pada bahagian jalan yang terjejas oleh pasukan empat pekerja daripada salah sebuah syarikat konsesi jabatan berkenaan.

Pekerja terbabit menggunakan pengaut dan penyodok bagi meratakan bahan berkenaan di sepanjang bahagian jalan yang rosak.

“Jentera tertentu kemudiannya digunakan untuk memadat dan menutup premix pada bahagian jalan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata kakitangan JKR telah memeriksa keadaan jalan berkenaan pada awal bulan ini, sejurus selepas mengesahkan bahawa jalan terbabit berada di bawah bidang kuasa jabatan itu.

“Beberapa bahagian didapati mengalami mendapan. Kakitangan kami turut mendapati permukaan asfalt retak atau telah terhakis di bahagian lain sepanjang jalan berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya mereka turut mendapati terdapat banyak lori berulang-alik ke dan dari kuari di kawasan berkenaan.

“Kami akan cuba berbincang dengan pengusaha premis berkenaan supaya mengurangkan muatan yang dibawa oleh lori mereka,” tambahnya.

Beliau berkata syarikat konsesi turut dimaklumkan mengenai kerosakan jalan berkenaan tidak lama selepas itu.

“Kami telah meminta syarikat berkenaan supaya lebih prihatin terhadap keadaan jalan terbabit bagi meminimumkan kesulitan yang mungkin dihadapi pengguna jalan raya,” katanya.

VITUS dari Papar berkata pengguna jalan raya berdepan kesulitan menggunakan Jalan Kelanahan untuk ke tempat tinggalnya di Taman Vila Intan berikutan sebahagian permukaan asfalt di satu sisi jalan berkenaan telah terhakis.

“Kereta saya bergegar teruk apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata sehingga kadang-kadang jantung saya berdegup kencang.

“Tidak mungkin untuk mengelak lubang-lubang berkenaan kerana bahagian yang rosak sudah menjadi agak lebar,” jelasnya.

Beliau berkata keadaan jalan itu semakin teruk secara beransur-ansur “sejak bertahun-tahun lalu”.

Vitus melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan di jalan berkenaan.

Beliau berpendapat keadaan jalan yang teruk itu membahayakan pengguna jalan raya dan berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini.

SEORANG pemandu di Likas bimbang bahagian bulatan pada permukaan jalan itu mungkin menunjukkan pembentukan lubang benam di bawah jalan berkenaan.“Saya telah menyuarakan kebimbangan kepada Majlis Daerah tetapi setakat ini, tiada tindakan diambil untuk memperbaiki keadaan jalan berkenaan,” ujarnya.

 Jurucakap Majlis mengesahkan jalan itu mengalami kerosakan ketika pemeriksaan dijalankan pada hari sama agensi berkenaan dihubungi pihak media.

“Bagaimanapun kami tidak dapat mengambil tindakan kerana Jalan Kelanahan tidak disenaraikan dalam daftar jalan kami.

“Yang boleh kami lakukan ialah memaklumkan JKR mengenai aduan pemandu berkenaan kerana jalan tersebut diselenggara oleh salah sebuah syarikat konsesi jabatan itu,” katanya.

Bagi Jalan Teluk Likas pula Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) menafikan dakwaan bahawa sebahagian jalan berkenaan berisiko runtuh akibat masalah pada kemudahan pembetungan yang berada di bawah jalan.

Jurucakap jabatan itu berkata, bahagian bulatan pada permukaan jalan berhampiran tadika berkenaan bukanlah lubang benam.

“Lubang terbuka digali supaya kontraktor kami dapat menangani masalah pembetungan di bahagian jalan ini beberapa tahun lalu.

“Bulatan itu ditinggalkan selepas kerja berkenaan selesai dan jalan diturap semula. Ruang pemeriksaan turut dipasang pada ketika itu,” maklumnya.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan sehari selepas JPP dimaklumkan mengenai kebimbangan pengguna jalan raya berkenaan.

“Tiga kakitangan kami memeriksa keadaan aset kami di jalan utama berhampiran simpang ke Lorong Pungguk, tempat tadika berkenaan berada.

“Semua pemasangan kami didapati berada dalam keadaan baik,” tambahnya.

Bagaimanapun kakitangan jabatan mendapati berlaku “mendapan” berhampiran bahagian bulatan berkenaan yang menyebabkan permukaan asfalt jalan itu menjadi tidak rata, katanya.

“Mereka membuat andaian keadaan itu mungkin disebabkan pemadatan yang tidak sempurna.

“Kami telah memaklumkan JKR mengenai masalah ini kerana jabatan berkenaan bertanggungjawab menyelenggara Jalan Teluk Likas,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved