Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tampil memberi penjelasan berhubung gambar tular di media sosial mengenai isu lencongan jalan di Jalan Meru (FT3217), Klang, yang dikatakan berpunca daripada kedudukan sebuah tokong dan kuil di laluan tersebut.
Menurut JKR Klang, laluan berkenaan merupakan Jalan Persekutuan (FT3217) yang telah diserahkan penyenggaraannya kepada pihak LRT3 pada tahun 2018 bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan serta naik taraf jalan projek berkenaan.
“Pada peringkat perancangan, terdapat rekabentuk baharu jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (hadapan) dan kuil (belakang) yang berada dalam kawasan Right of Way (ROW) LRT3. Namun, pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja,” kata Jurutera Daerah JKR Klang dalam kenyataan rasmi.
Baca juga:
Bagi menangani isu keselamatan yang timbul, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), MBDK dan JKR Klang telah turun padang pada 13 Mei 2025 untuk meneliti keadaan sebenar di lokasi.
JKR Klang turut menegaskan bahawa penerimaan jalan tersebut hanya boleh dibuat selepas audit kriteria penerimaan dilaksanakan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia. Sehingga kini, jalan berkenaan masih belum diserahkan semula kepada JKR daripada pihak LRT3 untuk tujuan penyenggaraan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Diraja Klang dalam kenyataannya menjelaskan bahawa semakan Jabatan Kejuruteraan MBDK mendapati kedudukan kuil tersebut telah menyebabkan lencongan jalan.
“MBDK telah merujuk perkara ini ke Pejabat Tanah Daerah Klang serta JKR kerana laluan tersebut di bawah seliaan agensi berkenaan. Selain itu, perkara ini juga telah dirujuk kepada MIROS memandangkan ia melibatkan isu keselamatan pengguna jalan raya,” jelas kenyataan MBDK.
The post JKR Klang jawab isu tular lencongan di Jalan Meru appeared first on The Reporter.




