
LONDON: Usahawan minyak wangi, Jo Malone dan suaminya menderma 100,000 pound (RM541,555) bagi mempercepat pembangunan hidung elektronik berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kanser melalui sampel biologi.
Teknologi itu meniru keupayaan luar biasa anjing menghidu dan mengenal pasti bau, sekali gus berpotensi mengubah kaedah saringan kanser.
Sumbangan itu akan membolehkan badan amal Medical Detection Dogs (MDD) yang berpangkalan di Buckinghamshire memasang kemudahan automatik dikenali sebagai SniffSpace.
Kemudahan itu membolehkan anjing terlatih menganalisis lebih banyak sampel dalam persekitaran terkawal, sekali gus menghasilkan set data yang diperlukan untuk memperhalusi teknologi berkenaan.
Menurut BBC News, sumbangan itu dibuat selepas Permaisuri Camilla menyaksikan demonstrasi prototaip berkenaan yang berjaya mengesan kanser prostat melalui sampel air kencing.
Ketua Pegawai Eksekutif MDD, Dr Claire Guest berkata, teknologi itu membuka peluang baharu untuk mengenal pasti ciri bau khusus penyakit berkenaan dan membangunkan hidung elektronik yang boleh dipercayai bagi mengesan kanser.
MDD memaklumkan Malone menjadi salah seorang duta badan amal itu hampir sedekad lalu selepas mengetahui usaha mereka melatih anjing untuk mengesan kanser payudara dan diabetes jenis 1.
The post Jo Malone sumbang dana biaya teknologi ‘hidung kanser’ appeared first on Utusan Malaysia.
