
Pelakon dan juruhebah popular, Johan kini melangkah ke dimensi baharu dalam dunia keusahawanan apabila menceburi perniagaan motosikal elektrik (EV) melalui syarikatnya Hanania Group Sdn. Bhd., hasil kolaborasi bersama GGR Motor.
Pusat pameran GGR x Johan yang beroperasi di Melawati Square, Kuala Lumpur, menjadi bukti kesungguhan Johan mengembangkan empayar perniagaannya selepas kejayaan restoran “Itik Ke Ayam?”.
Majlis pelancaran turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hanania Group dan GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. sebagai tanda permulaan kerjasama strategik dalam jualan motosikal EV.

Majlis perasmian yang dirasmikan oleh Khairy Jamaluddin, turut dihadiri YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Prof. Dr. Nizar Abd Jalil, serta Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi.
Kerjasama turut diperluas ke peringkat antarabangsa melalui GGR Akademi bersama Ram Corporation Ltd (Thailand) dan Zhejiang Huaqu International (China) bagi tujuan eksport motosikal elektrik ke luar negara.
“Pembukaan pusat pameran ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berkembang serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di seluruh negara,” kata Johan penuh semangat.
Dengan kehadiran Johan, beliau kini menjadi Artis Kedua selepas Farid Kamil yang bergabung dengan GGR Motor, menandakan era baharu selebriti Malaysia dalam menyokong industri automotif hijau.
Motosikal EV GGR direka dengan tiga mod kelajuan fleksibel iaitu 35 km/j (mod 1), 45–55 km/j (mod 2), dan 70 km/j (mod 3) serta masa pengecasan penuh selama enam jam. Ia tidak memerlukan servis enjin berkala, menjadikannya kos efektif dan mesra alam.
Harga motosikal GGR x Johan bermula daripada RM3,999, tetapi selepas rebat kerajaan RM2,400, pengguna hanya perlu membayar sekitar RM1,569.
Selain reka bentuk menarik dengan enam pilihan warna, motosikal ini turut dilengkapi waranti 50,000 kilometer dan disokong oleh pusat servis rasmi GGR x NeoFK.
Pembukaan ini bukan sahaja menandakan kejayaan perniagaan Johan, tetapi juga langkah penting menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan mobiliti hijau negara.



The post Johan Bawa Dimensi Baharu Dalam Dunia Perniagaan Motosikal Elektrik Bersama GGR Motor appeared first on TW Media.


