
Siapa tidak tertarik dengan kecomelan dan sifat manja kucing yang mampu mencuit hati manusia untuk dijadikan haiwan peliharaan di rumah.
Malah Islam menyatakan tentang kebaikan membela haiwan tersebut sebagai salah satu cara untuk manusia menuai ganjaran pahala daripada ALLAH.
Ini kerana membela haiwan comel itu mampu mendidik manusia untuk sentiasa berkongsi rezeki sama ada dari sudut makanan, minuman, tempat tinggal dan kasih sayang.

Bagi pempengaruh kucing, Johan Iskandar Mohd Najib, perjalanannya membela 29 ekor kucing hari ini bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian Diploma Bahasa Inggeris di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan menetap di sebuah rumah bujang di Bandar Seri Putra Bangi.
Awalnya, kedua ibu bapa Johan Iskandar agak keberatan memberi keizinan membela haiwan itu disebabkan beberapa faktor antaranya memerlukan komitmen dan modal kewangan yang besar.
Namun, segalanya berubah apabila seekor kucing betina bunting berada di hadapan rumahnya.
Melihat keadaan kucing yang tidak terurus itu, ia membuatkan Johan Iskandar ingin memelihara haiwan berkenaan sehingga ia melahirkan anak.
Sejak itu, lelaki berusia 30 tahun ini mula membela lebih banyak kucing di rumahnya sebagai teman berhibur dan bermain serta mengumpul beberapa informasi tentang penjagaannya.

Pengalaman buka studio kucing
Bercerita tentang pengalaman membela kucing, Johan Iskandar memberitahu dia pernah membuka sebuah studio kucing untuk memberi peluang kepada orang ramai bermain dengan haiwan tersebut.
Katanya, di awal pembukaannya, ia mendapat sambutan hangat memandangkan sesetengah kucingnya adalah baka yang diimport dari luar negara seperti Hungary dan Rusia.
Bagaimanapun, studio yang terletak di Setia Alam itu terpaksa ditutup selepas setahun beroperasi di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Pada awalnya studio kucing ini mendapat sambutan ramai dan setiap hari akan ada yang datang untuk bermain.
“Tetapi saya mengambil keputusan untuk menutupnya terus atas beberapa faktor antaranya sesetengah pengunjung yang datang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Peraturan seperti tidak dibenarkan mengganggu kucing sedang tidur kerana ia akan mengganggu emosi kucing-kucing saya,” jelasnya.
Mengulas pula tentang kucing-kucing baka luar negara yang dijualnya, Johan Iskandar memaklumkan harga seekor kucing anggarannya RM10,000 dan ke atas.
Bagaimanapun dia berpesan, tidak dinafikan kucing baka ini memang comel namun sekiranya berminat untuk membela haiwan tersebut carilah kucing-kucing jalanan.
Ini kerana tuturnya lagi, banyak kucing jalanan yang terbiar dan sakit sehingga mengundang kematian.
Dalam pada itu, Johan Iskandar turut memaklumkan tentang kesedaran penjagaan kucing di mana haiwan ini tidak boleh dibiarkan bebas ke ‘dunia luar’ sesuka hati.
Ujarnya, terdapat banyak risiko yang bakal berlaku sekiranya penjaga membiarkan kucing milik mereka keluar dari rumah.
“Antara risiko yang paling ketara adalah dilanggar kereta atau motosikal serta dimakan anjing liar.
“Risiko yang paling bahaya pula kucing terdedah dengan penyakit sporotrichosis atau dikenali sebagai jangkitan kulat berbahaya,” tegasnya.
Jangan berkira dengan si bulus
Johan Iskandar menjelaskan, penyakit itu merupakan luka yang sering terjadi di sekitar hidung dan boleh mengakibatkan kematian.
Bahkan, Johan Iskandar memberitahu, ia juga boleh berjangkit dan menular kepada manusia.
Justeru, dia sebagai pencinta kucing memelihara haiwan tersebut di kawasan rumah bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Johan Iskandar turut menasihati pemilik dan penjaga kucing atau mereka yang berminat membela haiwan itu untuk tidak berkira dengan si bulus dalam menyediakan keperluannya bagi memastikan ia sentiasa sihat.
Keperluan berkenaan tidak terhad kepada makanan sahaja tetapi melibatkan kos perubatan, penjagaan kebersihan dan pasir untuk sisa buangan.
Nama kucing Johan Iskandar dan jenis baka
Jellybean – British Short Hair
Cheezels – Scottishfold
Evian – Mainecoon
Meatball – Munchkin
Waffle – Munchkin
Pudding – Scottishfold
Truffle – Scottish Straight
Cupcake – Munchkin
Momofuku – Munchkin
Bonbon – British Short Hair
Chiffon – British Short Hair
Hana – Kucing Kampung
Camilla – Kucing Kampung
Pulut – Sphynx
Brownies – Kucing Kampung
Muffin – Munchkin
Biscoff – Scottish Straight
Kasih – Munchkin
Koci – British Short Hair
Melon – Domestic Long Hair
Kerry – American Curl
Pretzel – British Long Hair
Sugar – British Long Hair
Kingsumi – British Short Hair
OndeOnde – Munchkin
Blueberry – Exotix Short Hair
Nonamanis – Domestic Long Hair
Bingsu – Munchkin
Popcorn – British Short Hair
Apam – Munchkin
Goguma – Munchkin
Artikel berkaitan
The post Johan si pempengaruh kucing appeared first on Sinar Bestari.


