Johari ada karisma, disegani dalam parti - Ketua UMNO Maran

Politics
18 Aug 2023 • 9:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shahaniza (kanan) ketika menziarahi isteri Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di kediamannya di Ampang pada Jumaat.

AMPANG - Exco kerajaan Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun disifatkan sebagai seorang yang berkarisma dan dihormati dalam parti UMNO.

Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin berkata, beliau mengenali arwah selama 20 tahun ketika masing-masing aktif sejak zaman Pemuda dan Puteri lagi.

"Kami kenal dah lama namun berkawan atas kapasiti rakan sejawat (ketua bahagian) dalam parti.

"Saya lihat karakter beliau seorang yang serius dan tak banyak banyak cakap, jadi agak segan untuk bergurau dengannya," katanya selepas menziarahi isteri Allahyarham, Datin Seri Maziah Mohd Sudin di kediamannya di Ampang pada Jumaat.

Pada Khamis, Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai disahkan salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada petang Khamis.

Seramai 10 mangsa terkorban dalam insiden tersebut

Shahaniza dalam pada itu berkata, kali terakhir bertemu Allahyarham pada minggu lepas sewaktu kempen pilihan raya negeri (PRN) Kelantan.

"Masa itu saya sempat makan bersamanya dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kami tak borak sangat, cuma cerita tentang PRN saja, " katanya.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Maziah.

Maziah yang masih terkejut dengan kejadian menimpa suaminya itu bagaimanapun belum bersedia untuk ditemu bual pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN