
BEIJING: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (gambar) mewakili kerajaan Malaysia hadir menyaksikan majlis pembukaan rasmi temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, semalam, atas jemputan rakan sejawatnya sempena lawatan rasmi sulungnya ke negara itu.
Beliau ditemani isteri Puan Sri Noraini Mohd, turut menghadiri Jamuan Sambutan Majlis Perasmian Sukan Asia ke-19 Hangzhou yang dihoskan Presiden China Xi Jinping.
Sukan Asia ke-19 itu antara lain akan menyaksikan kontinjen Malaysia yang diwakili 288 atlet, diketuai Ketua Kontinjen Datuk Dr Chong Kim Fatt bersaing dalam 22 daripada 40 sukan dipertandingkan dengan sasaran 27 pingat.
“Sebagai satu-satunya wakil legislatif yang dijemput menghadiri jamuan ini, saya berbesar hati bertemu dengan Presiden Xi serta pemimpin-pemimpin negara lain dalam membincangkan kerjasama serantau yang erat.
“Sambutan ini peluang terbaik membangun Abad Asia agar keterangkuman sosial dan kemampanan dicapai. Malaysia dan China tetap komited dalam usaha membuka ruang kerjasama pelbagai hala demi manfaat bersama rakyat Malaysia-China-ASEAN,” katanya dalam kenyataan.
Turut menyertai jamuan itu antara lain Putera Mahkota Kuwait, Putera Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah; Presiden Syria, Bashar Al-Assad; Raja Kemboja, Norodom Sihamoni; Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo dan Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal.
Johari bersama delegasi Parlimen Malaysia kini dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing, China sehingga Khamis ini atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu pada 18 Mei lepas di Parlimen Malaysia.
Dalam lawatan itu, Johari dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Zhao dan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning selain akan menyampaikan syarahan umum ‘ASEAN dalam Abad Asia’ kepada penuntut Universiti Tsinghua untuk membincangkan peranan Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN pada 2025.
Beliau juga akan melawat syarikat gergasi China dalam bidang kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui dan keterjaminan makanan.
Turut serta dalam lawatan rasmi itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yeng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Datuk Awang Hashim dan Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) Chiew Choon Man. - Bernama

