Johor Bahru terajui pasaran ibu sawat Internet DE-CIX di Asia Tenggara, catat pertumbuhan 89%

Business & Finance
1 Aug 2023 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Bahru terajui pasaran ibu sawat Internet DE-CIX di Asia Tenggara, catat pertumbuhan 89%

diyana

01/08/2023 - 17:03

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pengendali ibu sawat Internet (Internet Exchange, IX), DE-CIX berkata pertumbuhan kapasiti pelanggannya di Asia Tenggara diterajui Johor Bahru, mencatat lonjakan kapasiti pelanggan hampir dua kali ganda dengan pertumbuhan 89%.

Sementara itu, pertumbuhan kapasiti pelanggan di Kuala Lumpur telah meningkat 34% ketika DE-CIX Asia membuka jalan untuk mempertingkatkan ketersambungan di Asia Tenggara.

DE-CIX mendedahkan data tersebut susulan penerbitan laporan tahunan 2022 bertajuk ‘The Heart and Soul of Interconnection’, yang melaporkan peningkatan pertumbuhan serantau pada platform ketersambungannya dan IX di Asia Tenggara.

“Pertumbuhan serantau lebih 38% dalam kapasiti pelanggan terhubung, termasuk Internet Exchanges, di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Singapura dan Bandar Seri Begawan di Brunei.

“Di samping itu, ketersambungan ke pasaran Asia Tenggara selanjutnya telah diwujudkan di Filipina,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, syarikat itu berkata kapasiti Singapura meningkat 31% dan begitu juga Bandar Seri Begawan di Brunei, sejajar dengan pertumbuhan global DE-CIX Group AG, yang mencatat peningkatan kapasiti Internet Exchanges sebanyak 29% dan kapasiti penyedia perkhidmatan awan di seluruh dunia pada 500%.

Pada 2022, DE-CIX menjalin perjanjian kerjasama dengan GetaFIX, ibu sawat Internet neutral terbesar di Filipina, menambah lebih 40 rangkaian pada platform ketersambungan DE-CIX Asia,membolehkannya menambah baik ketersambungan serantau untuk lebih 100 peserta merentasi pasaran Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Di samping itu, penubuhan perkongsian DirectCLOUD serantau pertama dengan syarikat teknologi maklumat dan pembekal awan Singapura, BasicBrix, telah membolehkan perniagaan di rantau ini untuk berhubung terus kepada perkhidmatan awan.

DE-CIX Cloud Exchange di Asia Tenggara menawarkan sambungan kepada penyedia awan utama seperti Microsoft Azure, Google Cloud dan Amazon AWS, serta penyedia serantau seperti BasicBrix.

Ahli lembaga pengurusan DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew berkata syarikat itu sentiasa menantikan perkongsian yang lebih strategik dan bagi jangka panjang untuk memperbaharui lagi perkhidmatan, serta mengukuhkan kehadiran dalam pasaran.

image is not available
Wong Weng Yew

“Dengan usaha tersebut, DE-CIX Asia akan memainkan peranan penting dalam menggalakkan inovasi dan kerjasama dengan memperkasakan perniagaan untuk menggunakan teknologi termaju dan merebut peluang baharu muncul melalui infrastruktur ketersambungan yang boleh diperkembangkan,” ujar beliau. - DagangNews.com