Johor bakal kuat kuasa Akta 133, kompaun sehingga RM500

5 Feb 2023 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Onn Hafiz (dua, kanan), mengaut longgokan sampah ketika menyertai program berkenaan di Sungai Skudai, pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bakal menguatkuasakan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan kompaun sehingga RM500 dalam usaha meningkatkan lagi penguatkuasaan berhubung aspek penjagaan kebersihan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penguatkuasaan Akta 133 itu secara keseluruhannya bertujuan mendidik masyarakat agar tidak lagi membuang sampah di merata-rata tempat.

Malah katanya, kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri telah pun diminta untuk menyelaraskan penguatkuasaan Akta 133 berkenaan.

“Kita perlu didik masyarakat agar tidak lagi membuang sampah di merata-rata tempat...jika tidak, tidak ada makna usaha kita lakukan gotong-royong (membersihkan) sesuatu kawasan.

“Kita dah lancarkan program Johor Bersih sejak tahun lepas, tetapi pemikiran masyarakat kita masih belum mencapai ke tahap yang kita mahukan dan sebab itulah aspek penguatkuasaan ini sangat penting.

“Oleh itu, setelah berbincang, kita bersetuju untuk tingkatkan lagi aspek penguatkuasaan ini,” katanya pada Ahad.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Sebelum itu, Onn Hafiz turut menyertai program Johor Bersih Zon Tampoi, di Taman Tampoi Utama yang melibatkan aktiviti pembersihan Sungai Skudai di kawasan berkenaan.

Sementara itu Onn Hafiz berkata, usaha pembersihan seperti itu diharap akan berterusan selepas ini di seluruh negeri melibatkan penglibatan semua pihak.

“Dalam kita nak bersihkan negeri, kita pungut sampah, kita pungut bermacam bentuk barang di tepi jalan, di taman-taman, di sungai-sungai, tetapi kena pastikan juga mindset rakyat secara keseluruhannya kena pastikan dia tak buang sampah (merata-rata) kerana bila kita buat program gotong royong macam ni, dalam masa sama pasti kita tak nak orang buang sampah.

“Jadi mulai sekarang, kita gerakkan (program pembersihan) melalui PBT di mana Ahli Majlis mereka akan bergerak bersama agensi-agensi lain, di kampung-kampung pula, ketua-ketua kampung pula akan bergerak, di peringkat sungai, pihak JPS (Jabatan Parit dan Saliran) pula yang bergerak,” katanya.

“Insya-Allah, dalam sebulan dua ni, kita nak tengok peningkatan, tapi semua pihak kena main peranan, termasuk syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan), dan kita besihkan Johor sebagai satu pasukan,” katanya.