Johor catat nilai perdagangan RM753 bilion pada 2023, hampir 30% daripada keseluruhan Malaysia
herman
03/09/2024 - 16:18
KUALA LUMPUR 3 Sept - Johor mencatatkan nilai perdagangan sebanyak RM753 bilion tahun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah kira-kira 29% daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia pada tahun lalu.
"Pencapaian ini jelas bukan sekadar statistik tetapi bukti kepentingan strategik Johor dan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara," katanya menerusi Facebook msempena perasmian kilang Greif Malaysia Sdn Bhd di Pasir Gudang hari ini.
Grief merupakan syarikat pengeluar produk pembungkusan global yang terkenal dari Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai kemudahan pengeluaran di tiga negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura dan Vietnam.
Produk-produk Greif termasuk pembungkusan industri, tong keluli, tong plastik, dan bekas pukal pertengahan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan CEO Greif, Ole Rosgaard.
Ting Han berkata, Grief telah membuat pelaburan sebanyak RM50 juta di Pasir Gudang dengan menyediakan 150 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk tempatan.
Tambah beliau, kehadiran Greif di Johor bukan sahaja mengukuhkan rangkaian global syarikat itu tetapi juga menekankan kepentingan Malaysia sebagai hab utama dalam strategi antarabangsa mereka.
"Penubuhan kemudahan Greif ini selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memupuk ekosistem industri yang menyokong inovasi, kelestarian, dan ketahanan ekonomi.
"Lebih penting lagi, impak kemudahan baru ini melampaui keupayaan operasinya yang segera. Penciptaan pekerjaan baru (sekitar 150 orang), pembangunan kemahiran tempatan dan peningkatan rantaian bekalan adalah sebahagian daripada faedah ekonomi yang dibawa oleh projek ini ke Johor," jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, Pasir Gudang khususnya adalah kawasan yang sinonim dengan pertumbuhan dan kemajuan.
"Terletak secara strategik di selatan Malaysia, kawasan ini telah berkembang menjadi pusat industri dan logistik yang pesat.
"Semoga kemudahan Grief ini berkembang dan menjadi mercu kejayaan dalam industri pembungkusan, serta menyumbang kepada kejayaan dan kemakmuran Johor, Malaysia, dan komuniti global," ujarnya.- DagangNews.com


