Johor fasa merisik, N. Sembilan fasa bertunang

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Johor fasa merisik, N. Sembilan fasa bertunang

SEREMBAN – Negeri Sembilan bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada perubahan sentimen pengundi yang telah lama menantikan kerjasama lebih ampuh antara parti-parti Melayu.

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd. Mahadee Ismail berkata, gelombang biru yang melanda Negeri Sembilan bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada perubahan sentimen pengundi yang telah lama menantikan kerjasama lebih ampuh antara parti-parti Melayu.

Image from: Johor fasa merisik, N. Sembilan fasa bertunang
Prof. Madya Dr. Mohd. Mahadee

“Orang Melayu sudah lama menunggu saat ini iaitu melihat parti-parti politik berteraskan Melayu-Islam bekerjasama. Jika di Johor kita boleh ibaratkan sebagai fasa merisik, di Negeri Sembilan pula sudah masuk fasa bertunang.

“Tidak mustahil kerjasama itu akan menjadi lebih kukuh pada pilihan raya akan datang. Dalam landskap politik Malaysia, khususnya di kawasan majoriti Melayu, sokongan kepada parti-parti Melayu masih menjadi faktor penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Mahadee berkata,­ pe­ningkatan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Persekutuan turut mempengaruhi corak pengundian, terutama membabitkan isu kos sara hidup dan pelaksanaan dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.

Mengulas faktor lain, Mohd. Mahadee berkata, isu berkaitan adat Melayu di Negeri Sembilan turut menjadi antara naratif yang memberi kesan kepada persepsi sebahagian pengundi.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, terdapat kelompok pengundi yang beranggapan perkara berkaitan adat tidak seharusnya dipolitikkan, itu dimainkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, PH masih mempunyai kekuatan di kawasan bandar, namun BN dan PN lebih dominan di kawasan luar bandar serta separa bandar.

“Rakyat mahu melihat adat terus dipelihara dan mereka juga mahu kerajaan yang mampu menunaikan janji berkaitan kos sara hidup. Faktor-faktor itu memberi kelebihan kepada BN dan PN,” katanya.

Mengulas strategi kempen, beliau berpandangan BN berjaya bangkit selepas mengambil iktibar daripada kekalahan lalu dengan menyusun gerak kerja lebih awal serta memperkukuhkan jentera di akar umbi,” katanya.

Image from: Johor fasa merisik, N. Sembilan fasa bertunang
Prof. Madya Dr. Mohd. Mahadee

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, formula kerjasama BN-PN disifatkan menjadi ramuan utama yang membawa kepada tumbangnya beberapa nama besar politik di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, gabungan kekuatan dua blok politik itu berjaya menghimpunkan kelompok pengundi yang sebelum ini berpecah, sekali gus menjadi faktor penentu kemenangan.

Selain penyatuan undi, kekuatan jentera pilihan raya dan penguasaan propaganda sepanjang tempoh berkempen turut menjadi tonggak yang mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

“Campuran undi BN dan PN menjadi sumber kekuatan utama. Ia diperkasakan pula dengan gerak kerja jentera yang tersusun serta strategi propaganda yang berjaya mempengaruhi persepsi pengundi,” katanya.

Tambahnya, keputusan PRN itu bukan sekadar melibatkan pertukaran kerajaan negeri, sebaliknya dijangka menjadi permulaan kepada gelombang politik yang mampu memberi kesan kepada negeri-negeri lain sehingga ke peringkat nasional.

Menurutnya, selepas Johor serta Negeri Sembilan, ia akan diikuti di negeri Melaka dan keputusan di Negeri Sembilan berpotensi meningkatkan tekanan politik di Perak dan Pahang.

Mengulas keputusan mengejutkan, beliau menyifatkan kekalahan Anthony Loke dan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai antara kejutan terbesar PRN kali ini kerana kedua-duanya merupakan tokoh politik berpengaruh di Negeri Sembilan.

Image from: Johor fasa merisik, N. Sembilan fasa bertunang
Prof. Madya Dr. Mohd Azmir

Bagi Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah, pendekatan persefahaman antara BN-PN disifatkan memberi pilihan yang lebih jelas kepada pengundi, sekali gus menjadi antara faktor utama yang mencorakkan keputusan pilihan raya itu.

Katanya, pendekatan itu berjaya mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru yang lazimnya menyebabkan perpecahan undi, selain memudahkan pengundi menentukan pilihan.

Beliau berkata, hasil pendekatan itu menyaksikan BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi dengan kedua-dua parti mencatatkan rekod kemenangan memberangsangkan di kerusi yang ditandingi.

“Keputusan strategik untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu memberi pilihan yang lebih jelas kepada pengundi. Pada masa sama, cubaan memecahkan undi tidak berjaya ke­rana pihak yang bertanding tidak mempunyai kekuatan diperingkat akar umbi,” katanya.

The post Johor fasa merisik, N. Sembilan fasa bertunang appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved