Johor jawab kritikan Dr Rafidah, tegas perjuang sektor kesihatan

LocalHealth & Fitness
6 Aug 2026 • 10:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Johor jawab kritikan Dr Rafidah, tegas perjuang sektor kesihatan
Tian Soon

JOHOR BAHRU – Gesaan supaya Kerajaan Persekutuan segera mengisi kekosongan jawatan petugas kesihatan bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, dakwaan kerajaan negeri mempolitikkan isu berkenaan tidak tepat kerana Johor selama ini bukan sekadar membangkitkan masalah, malah turut mengeluarkan peruntukan sendiri bagi memperkukuh sistem kesihatan negeri.

"Sehingga kini kerajaan negeri telah membelanjakan RM65 juta bagi menaik taraf fasiliti kesihatan, membiayai pelaksanaan doktor locum di hospital utama, melaksanakan projek decanting Klinik Kesihatan Unit Ibu dan Anak serta pelbagai inisiatif lain.

"Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM5.825 juta bagi bantuan pantri kepada hospital dan klinik kesihatan, RM2.8 juta bantuan khas Hari Raya kepada petugas kesihatan serta RM14.18 juta menerusi Bantuan Kasih Johor kepada penjawat awam kesihatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr Rafidah Abdullah atas pandangan yang dikongsikan berhubung isu kekurangan petugas kesihatan.

"Mungkin Dr Rafidah belum melihat keseluruhan usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam membantu sektor kesihatan," katanya.

Sebelum ini, pengamal perubatan, Dr Rafidah Abdullah menggesa ahli politik supaya tidak sekadar "menyeru" Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyelesaikan isu kekurangan petugas kesihatan.

Sebaliknya, beliau berpandangan usaha membantu sektor kesihatan perlu diterjemahkan melalui sokongan terhadap dasar yang lebih menyeluruh seperti menghapuskan sistem lantikan kontrak, mengembalikan skim pencen serta menambah gaji, imbuhan dan elaun petugas kesihatan.

Menurut Dr Rafidah, langkah itu mampu menangani isu kekurangan tenaga kerja secara lebih berkesan berbanding hanya menggesa KKM mengambil tindakan, malah menyifatkan seruan semata-mata tanpa penyelesaian dasar sebagai "wayang".

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, Johor juga berulang kali membawa isu kekurangan petugas kesihatan kepada KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Persekutuan sejak 2023, termasuk dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri serta beberapa siri pertemuan bersama Menteri Kesihatan.

Katanya, Hospital Pasir Gudang (HPG) yang sudah siap dibina masih mempunyai 1,192 kekosongan daripada keseluruhan 2,271 jawatan, manakala Hospital Sultanah Aminah (HSA) merekodkan 613 kekosongan dan Hospital Sultan Ismail (HSI) sebanyak 285 kekosongan.

"Selagi kekosongan ini tidak diisi, doktor, jururawat dan petugas kesihatan akan terus bekerja lebih masa, memikul beban yang berat serta berdepan risiko burnout," katanya.

Beliau menegaskan, Johor tidak menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu komitmen yang diberikan sebelum ini diterjemahkan kepada tindakan agar rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti.

Pada 4 Ogos lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan HPG yang dilengkapi kemudahan moden dan pelbagai bidang kepakaran masih belum dapat beroperasi pada kapasiti penuh berikutan kekangan pengisian tenaga kerja.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved