JOHOR BAHRU – Sebanyak 207 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di Johor sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Naqib Ghazali berkata, langkah itu diambil bagi memastikan calon peperiksaan, khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir, tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan.
"Daripada jumlah PPS yang dikenal pasti itu, sebanyak 202 adalah sekolah kebangsaan manakala lima lagi sekolah menengah kebangsaan yang boleh dibuka sekiranya berlaku banjir.
"Persediaan ini turut melibatkan pengenalpastian calon yang berisiko terjejas serta lokasi alternatif peperiksaan, khususnya di daerah Tangkak, Segamat dan Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) turut mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan dan fasiliti berada dalam keadaan baik serta bersedia digunakan apabila diperlukan.
Katanya, pihak sekolah juga perlu memantau status setiap calon, terutama keadaan tempat tinggal dan laluan perjalanan mereka bagi mengenal pasti sebarang risiko akibat banjir.
"Platform komunikasi bersama ibu bapa juga perlu diperluaskan supaya maklumat dan perkembangan terkini dapat disampaikan dengan pantas.
"JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersedia memberikan bantuan serta sokongan kepada calon yang terjejas bagi memastikan mereka dapat hadir ke pusat peperiksaan tanpa sebarang gangguan," katanya.
Tambahnya, segala persediaan itu selaras dengan saranan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya setiap agensi mengambil langkah awal dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Untuk rekod, peperiksaan SPM 2026 bermula pada 26 Oktober lalu menerusi Ujian Bertutur Bahasa Melayu sebelum diteruskan dengan beberapa komponen peperiksaan lain.
Peperiksaan bertulis pula dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember ini.
Dalam pada itu, Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang fasa awal monsun dari November 2026 hingga Januari 2027.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai, sekali gus meningkatkan risiko gangguan kepada perjalanan calon ke pusat peperiksaan.





