Johor Laksana Ketetapan Jarak 81KM Bagi Dua Marhalah Sejak Tahun Lalu

17 Aug 2023 • 5:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jarak 81 kilometer bagi dua marhalah untuk kemudahan musafir menunaikan solat jamak dan qasar di Johor sudah dilaksanakan sejak April tahun lalu. gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Ketetapan kadar dua marhalah pada jarak 81 kilometer bagi membolehkan musafir menunaikan ibadah solat jamak dan qasar sudah dilaksanakan di Johor sejak 25 April tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid menjelaskan tiada ketetapan jarak marhalah terkini dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor seperti yang sedang ditularkan menerusi media sosial pada masa ini.

“Saya difahamkan sedang tular pernyataan mengenai kadar terkini jarak marhalah bagi membolehkan rukhsah solat dilaksanakan di negeri Johor.

“Suka saya menjelaskan bahawa ketetapan jarak marhalah tersebut sudah pun dilaksanakan bagi negeri Johor sejak 25 April 2022 lagi, berdasarkan Fatwa Negeri Johor. Bermakna, ia bukan yang terkini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata penentuan kadar dua marhalah pada jarak 81 kilometer itu selaras dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 pada Februari 2021. - BERNAMA