‘Johor negeri pertama tawar gaji premium RM4,000 hingga RM5,000’ – TMJ

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2024 • 4:43 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, negeri Johor bakal menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada 3 November.

Titah baginda, lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri Johor dalam beberapa tahun akan datang.

“Kerajaan Negeri Johor menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini. Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta.

“Kerajaan negeri turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira AS$190 juta ke negeri ini.

“Projek-projek baharu ini dijangka akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun yang akan datang,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda juga memaklumkan Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan turut akan dinaik taraf dalam masa terdekat.

“Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan akan dinaik taraf sebelum dibuka kepada umum sebagai usaha menambah nilai pelancongan di Johor Bahru.

“Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19,” titah baginda.