Johor Plantations teroka sumber pendapatan selain perladangan daripada tanah tidak digunakan

9 Jul 2024 • 2:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Plantations teroka sumber pendapatan selain perladangan daripada tanah tidak digunakan

herman

09/07/2024 - 14:29

KUALA LUMPUR 9 Julai - Johor Plantations Group Bhd sedang meneroka sumber pendapatan alternatif daripada tanahnya yang tidak digunakan dengan mempelbagaikan aktiviti selain bagi tujuan perladangan.

Syarikat itu yang memiliki 56,000 hektar tanah ladang merancang untuk menilai 'skim yang betul' sebelum memberi komitmen kepada penjanaan tenaga solar, kata Pengarah Urusan Johor Plantations, Mohd Faris Adli Shukery.

“Ya, kami sedang (melihat sumber pendapatan alternatif). Seperti yang anda lihat, menukar (tanah yang tidak digunakan) untuk (tujuan) tenaga akan dapat meningkatkan pendapatan,” katanya selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia seperti dilaporkan hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengulas mengenai rancangan untuk memajak tanah dengan harga yang tinggi bagi usaha niaga projek solar berskala besar (LSS).

image is not available
MOHD FARIS ADLI SHUKERY

Maybank Investment Bank Bhd sebelum ini menyatakan LSS boleh menjana sehingga 54 kali ganda keuntungan operasi sehektar berbanding penanaman kelapa sawit.

Setakat ini, hanya SD Guthrie Bhd telah mendedahkan kepada umum cita-cita tenaga boleh diperbaharuinya (RE) dengan sasaran kapasiti satu gigawatt (GW).

Untung bersih Johor Plantations bagi suku perama tahun kewangan 2024 (1QFY24) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM49.5 juta dengan hasil meningkat kepada RM294.9 juta, disebabkan jualan minyak sawit mentah dan isirung sawit yang lebih tinggi.

image is not available
Infografik prestasi kewangan Johor Plantations bagi 1QFY24.

Sementara itu, Pengerusi Johor Plantations, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, cadangan levi keuntungan durian runtuh (WPL) ke atas minyak sawit dijangka memberi kesan kepada industri sawit tempatan.

"WPL akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat secara keseluruhan, tetapi ia bergantung kepada berapa banyak kerajaan mengenakan kadar levi," kata Ismail.

Mohd Faris pada masa juga mengakui WPL yang akan dikenakan ke atas syarikat perladangan akan memberi kesan terhadap kumpulan.

"Walau bagaimanapun, dalam konteks ini syarikat sedang membina nilai, jadi apa yang kami lakukan setakat ini adalah bagaimana kami membezakan minyak yang kami hasilkan dari segi pensijilan dan kualiti.

"Setakat ini kami melihat terdapat permintaan yang baik untuk minyak yang kami hasilkan, bukan sahaja dari segi kualiti, tetapi juga dari segi pensijilan," katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, Malaysia akan menjadi tidak berdaya saing berbanding negara pengeluar lain, sekiranya WPL minyak sawit tidak disemak semula.

Pada masa ini, kadar WPL sebanyak 3% dikenakan ke atas minyak sawit berharga melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia, dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

Dalam perkembangan berasngan, Dr Ismail berkata, berkata visi syarikat untuk menjadi pemain bersepadu dalam industri minyak sawit bagi menghasilkan minyak dan lemak khusus di pasaran global.

"Ini memerlukan penerokaan strategik kami ke dalam segmen hiliran serta komitmen kami untuk memajukan ekonomi dan memastikan daya maju serta kemampanan jangka panjang Johor Plantations.

"Dengan prospek yang menggalakkan berikutan trend menaik dalam permintaan global untuk minyak sayuran, serta peralihan industri ke arah minyak sawit mentah bersumberkan mampan, kami percaya syarikat berada di kedudukan strategik untuk menangani peningkatan permintaan bagi minyak dan lemak," katanya .

Ismail berkata, ini juga akan memanfaatkan peluang di hadapan untuk mengembangkan bahagian pasaran syarikat. - DagangNews.com