Johor Port labur RM140 juta perluas jeti cecair tingkatkan kapasiti pengendalian kargo

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2025 • 5:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Port labur RM140 juta perluas jeti cecair tingkatkan kapasiti pengendalian kargo

image is not available

29/07/2025 - 17:17

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai - Johor Port Berhad, anak syarikat Kumpulan MMC, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabuhan pelbagai guna utama di selatan tanah air menerusi peluasan jeti cecair bernilai RM140 juta.

Projek ini dapat meningkatkan kapasiti pengendalian cecair sehingga 5 juta tan setahun dan menyokong pertumbuhan sektor kargo cecair sekaligus memperkukuh peranan Johor Port sebagai hab logistik serantau.

Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, projek peluasan ini membuktikan komitmen berterusan syarikat terhadap pembangunan pelabuhan bertaraf global.

“Pentauliahan jeti cecair yang diperluaskan ini adalah satu permulaan transformasi dalam perjalanan inovasi Johor Port dan juga komitmen kami terhadap pembangunan infrastruktur strategik dan pertumbuhan mampan.

“Pembangunan ini bukan sahaja memperluaskan keupayaan operasi kami tetapi juga mengukuhkan keupayaan untuk menyokong rakan kongsi utama kami.

“Ia meletakkan Johor Port sebagai gerbang maritim yang cukup bersedia, sejajar dengan aspirasi yang lebih luas iaitu untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan ke piawaian global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek ini mematuhi piawaian Kesihatan,Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) tertinggi seperti yang digariskan oleh Johor Port dan Jabatan Laut Malaysia. Kajian tapak yang meluas, termasuk pemodelan hidraulik dan simulasi navigasi turut dilakukan untuk memastikan integrasi yang lancar dengan operasi sedia ada sambil mengekalkan kesinambungan perkhidmatan yang optimum sepanjang fasa pembangunan.

Pematuhan penuh dengan piawaian ketat yang ditetapkan oleh Johor Port dan Jabatan Laut Malaysia dikekalkan dengan teliti sepanjang fasa pembinaan.

image is not available

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, peningkatan infrastruktur ini penting bagi memenuhi permintaan perdagangan serantau yang semakin mencabar, selain memperkukuh daya saing logistik negara.

“Dengan peningkatan ini, Johor Port bukan sahaja memperluaskan keupayaan operasi tetapi juga memantapkan kedudukan sebagai gerbang maritim utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi Johor dan rantau ASEAN,” katanya.

Majlis perasmian jeti baharu tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Masni Wakiman yang mewakili Menteri Besar Johor.

Fasa peluasan yang bermula pada Oktober 2023 menyaksikan pembinaan dua jeti cecair baharu yang mampu menampung kapal sehingga 120,000 DWT.

Ia membolehkan Johor Port memenuhi permintaan kapal tangki berkapasiti besar, khususnya dalam sektor minyak dan bahan cecair boleh dimakan.

Dalam tempoh lima tahun lalu, Johor Port telah mencatatkan prestasi konsisten dalam pengendalian kargo cecair, mencecah 14.5 juta tan pada 2022 yang hampir mencapai kapasiti maksimum tahunan semasa sebanyak 15 juta tan.

Jeti baharu ini turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan teknologi terkini termasuk bilik operasi khusus, sistem CCTV bersepadu, pelbagai kemudahan untuk kargo Kelas 3 dan potensi untuk dinaik taraf kepada Kelas 1, serta sambungan Wi-Fi menyeluruh dan sistem pemadam kebakaran moden.

Dengan peningkatan keupayaan ini, Johor Port berada di landasan kukuh untuk terus menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Induk Logistik Nasional dalam usaha memperkasa peranan Malaysia sebagai hab perdagangan maritim serantau- DagangNews.com

standard

View Original Article