Johor Port teroka koridor perdagangan maritim Belawan bersama PT Pelabuhan Indonesia

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 12:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Port teroka koridor perdagangan maritim Belawan bersama PT Pelabuhan Indonesia Image from: Johor Port teroka koridor perdagangan maritim Belawan bersama PT Pelabuhan Indonesia amree06/10/2026 - 12:41 Foto kredit PT Pelabuhan Indonesia Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt — Johor Port Berhad meneroka pembangunan koridor perdagangan maritim Belawan-Johor bersama PT Pelabuhan Indonesia (Persero) Regional 1 Belawan bagi memperkukuhkan aspek kesalinghubungan dan membuka banyak laluan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia.

 

Menurut anak syarikat MMC Port Holdings Berhad itu, inisiatif ini dilihat berpotensi meningkatkan kecekapan pergerakan kargo, memperluas akses pasaran kepada komuniti perniagaan serta menyediakan pilihan laluan logistik baharu bagi pemain industri di Johor dan Sumatera Utara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, potensi hubungan berkenaan bukan sekadar menghubungkan dua pelabuhan, sebaliknya turut mendekatkan komuniti perniagaan dan pasaran kedua-dua negara berjiran itu menerusi laluan perdagangan secara lebih cekap.

 

"Kerjasama dengan Pelabuhan Indonesia dan pemain industri akan membantu mengenal pasti peluang praktikal bagi memperkukuh kesalinghubungan antara Sumatera Utara dan Johor, selain memberikan nilai tambah kepada pelanggan di kedua-dua pasaran," katanya dalam kenyataan.

 

Potensi hubungan perdagangan itu dibincangkan ketika delegasi Johor Port mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Belawan pada awal September 2026 bersempena dengan penganjuran Program Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) 2026 di Medan.

 

Lawatan tersebut membolehkan Johor Port mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai kemudahan operasi Pelabuhan Belawan, corak aliran kargo sedia ada serta akses ke kawasan Sumatera Utara, selain membincangkan permintaan pasaran dan keperluan rantaian logistik.

 

Pelabuhan Belawan_DagangNews2026
SUASANA Pelabuhan Belawan di wilayah Sumatera Utara

 

Tambahnya, fokus bukan sekadar memperkenalkan laluan perkapalan baharu, sebaliknya membangunkan koridor perdagangan yang mampan dari segi komersial dan memenuhi keperluan pemilik kargo, pengimport, pengeksport, syarikat perkapalan serta penyedia perkhidmatan logistik.

 

"Pelabuhan Belawan merupakan antara pintu masuk utama ke Sumatera Utara, manakala Johor Port menyediakan akses strategik ke Johor, pasaran Malaysia yang lebih luas serta rangkaian perkapalan serantau, sekali gus mewujudkan aliran kargo terus antara kedua-dua wilayah," katanya.

 

Cadangan koridor itu berpotensi menyokong pelbagai jenis kargo termasuk daripada sektor pembuatan, barangan pengguna, kargo industri dan perdagangan serantau lain, selaras dengan usaha Johor Port memperluas kawasan pasaran komersialnya melangkaui hinterland sedia ada.

 

Bagaimanapun, Johor Port berkata, pembangunan perkhidmatan baharu pada masa depan bergantung kepada permintaan kargo yang mencukupi, keupayaan operasi yang konsisten serta struktur perkhidmatan yang mampan dari aspek komersial.

 

Johor Port dan Pelabuhan Indonesia Regional 1 Belawan akan meneruskan libat urus dengan syarikat perkapalan, penyedia logistik, pemilik kargo dan komuniti perniagaan bagi mengenal pasti potensi aliran kargo serta rakan kongsi perkhidmatan yang bersesuaian.

 

"Sebagai pelabuhan pelbagai guna di selatan Johor, Johor Port mengendalikan kontena, kargo kering pukal, kargo pecah pukal dan kargo cecair, dengan terminal kontenanya merekodkan jumlah kendalian tahunan tertinggi sebanyak 1.08 juta TEUs pada 2025," jelasnya.

 

Perkembangan positif itu tambahnya, sekali gus menyokong strategi ahli kumpulan MMC tersebut untuk memperkukuh kesalinghubungan intra-Asia dan rantaian bekalan serantau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved