
SEGAMAT: Kerajaan Johor merancang menambah jeti terapung di lokasi terpilih di negeri ini terutama yang berisiko banjir dan air pasang bagi membantu nelayan darat dan mengurangkan kerosakan pada jeti kekal.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata pihaknya bersama Jabatan Perikanan dan persatuan nelayan setempat sedang mengenal pasti lokasi pembinaan jeti terapung berkenaan.
Beliau berkata usaha dilakukan memandangkan jeti terapung sedia ada dilihat membantu nelayan terutama ketika musim bencana dan fenomena air pasang.
“Sehingga kini, empat jeti terapung telah siap dibina iaitu di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar dan Segamat.
“Tahun ini kita rancang untuk membina satu lagi jeti terapung di Segamat dan Kota Tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan jeti terapung di Kampung Seberang Batu Badak, di sini, yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Negeri Johor Zainudin Abd Wahab.
Menurut Zahari, projek pembinaan jeti terapung itu mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan apabila siap kelak, nelayan akan mempunyai tempat khusus untuk menaikkan hasil tangkapan serta meletakkan bot masing-masing dengan lebih teratur.
“Pembinaan jeti terapung terbabit pada masa akan datang akan mengutamakan kawasan yang kerap dinaiki air bertujuan jeti yang dibina tidak rosak dan lebih mudah digunakan apabila berlaku kejadian bencana (banjir),” katanya.
Mengenai jeti terbaharu yang akan dibina di muara Sungai Segamat dan menelan kos sekitar RM100,000 itu, beliau berkata ia akan memanfaatkan kira-kira 40 nelayan darat di sekitar Kampung Seberang Batu Badak dan sekitarnya apabila siap nanti.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap itu berkata beberapa inisiatif lain untuk membantu nelayan darat turut dilaksanakan oleh kerajaan Johor dan agensi berkaitan seperti melepaskan 600,000 anak ikan di sungai-sungai negeri ini dan 70,000 anak udang di Sungai Muar, berhampiran Kampung Awat, dekat sini, tahun lepas.
“Kita juga merancang untuk menjalankan projek ternakan ikan sangkar membabitkan ikan baung di Muar dan kita telah kenal pasti peserta untuk terlibat projek itu,” katanya. -Bernama
