
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memperuntuk RM47.13 juta bagi pelaksanaan rayuan melibatkan program Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang akan memberi manfaat kepada seramai 235,545 rakyat Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu merupakan komited pihaknya dalam memastikan bantuan disediakan benar-benar sampai kepada penerima yang layak.
“Sejak BKJ Fasa 4 dilaksana, kita telah menerima pelbagai maklum balas dan rayuan daripada pemohon. Selepas meneliti dan lakukan semakan terhadap permohonan yang layak, pertimbangan sewajarnya akan diberi.
“Syukur Alhamdulillah, sebanyak RM47.13 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan rayuan ini. Seramai 235,545 penerima layak akan mendapat manfaat secara langsung,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, pendekatan itu selari matlamat BKJ yang dilaksana bertujuan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, meringankan beban kos sara hidup serta memastikan kemajuan dan peningkatan hasil negeri dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Kita berpegang kepada prinsip bahawa apabila hasil negeri meningkat, manfaatnya perlu dikembalikan kepada rakyat. Sebab itu kita menambah baik BKJ dan memberi ruang rayuan supaya mereka yang layak tidak tercicir.
“Kita mungkin tidak mampu selesaikan semua perkara dalam satu masa, tetapi selagi ada kemampuan, kita akan membantu lebih ramai rakyat Johor dan memastikan kemakmuran negeri dikongsi bersama,” katanya.
Pelaksanaan rayuan BKJ Fasa 4 merangkumi 21 kategori bantuan termasuk warga emas; suri rumah tidak bekerja; pasangan baharu berkahwin; penjaja dan peniaga kecil; golongan orang kurang upaya (OKU); anak yatim; keluarga miskin; penggerak komuniti; petugas serta sukarelawan.-UTUSAN
The post Johor sedia RM47.13 juta laksana rayuan BKJ Fasa 4 appeared first on Utusan Malaysia.



