Johor tambah peruntukan RM30 juta atasi banjir kilat

LocalEnvironment
1 Oct 2026 • 3:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Johor tambah peruntukan RM30 juta atasi banjir kilat

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menambah peruntukan sebanyak RM30 juta bagi mempercepatkan pelaksanaan langkah jangka pendek dan sederhana untuk menangani isu banjir kilat di sekitar bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan tambahan itu diperlukan susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Johor Bahru selepas hujan luar biasa semalam.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi mesyuarat kecemasan task force banjir hari ini bersetuju memperkemas beberapa tindakan segera termasuk menaik taraf sistem saliran, mendalamkan kolam takungan serta menambah kapasiti pam air.

“Semalam kita lihat keadaan cuaca yang luar biasa apabila jumlah hujan di sesetengah kawasan mencecah dua hingga tiga kali ganda daripada biasa, malah ada kawasan yang menerima lebih 100 peratus.

“Justeru, kita tidak boleh bergantung kepada sistem sedia ada sahaja dan perlu melihat langkah jangka pendek, sederhana serta perancangan jangka panjang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata, antara tindakan segera ialah mendalamkan kolam takungan di Kampung Mohd Amin sebanyak tiga kaki daripada kedalaman sedia ada bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan air, selain mengeringkan kolam dan parit monsun sebelum hujan lebat seterusnya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menambah keupayaan sistem pam termasuk menggerakkan pam mudah alih ke Kampung Pasir, manakala beberapa projek crossing culvert di kawasan berisiko akan dipercepatkan bagi melancarkan aliran air ke Sungai Chat dan Selat Johor.

“Bagi jangka sederhana, kita akan melihat pembinaan kolam takungan bawah tanah atau On-Site Detention (OSD), terutama di kawasan yang tidak lagi mempunyai tanah lapang mencukupi.

“Kaedah ini membolehkan air hujan disimpan di bawah tanah sebelum dilepaskan secara terkawal dan kawasan di atasnya masih boleh digunakan sebagai tempat letak kereta atau kawasan lapang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mendapatkan khidmat konsultan bagi menilai keseluruhan sistem saliran dan mitigasi banjir di Johor Bahru, selain melihat keperluan menaik taraf parit monsun dan menambah kapasiti pam sebagai persediaan menghadapi perubahan corak hujan. – KOSMO! ONLINE

The post Johor tambah peruntukan RM30 juta atasi banjir kilat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved