Johor tekad gandakan hasil pertanian dalam tempoh lima tahun

7 Apr 2023 • 5:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bertekad untuk menggandakan hasil pertaniannya dalam tempoh lima tahun bagi menangani isu keterjaminan makanan dan terus menjadi sumber utama makanan untuk negara.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) berkata beliau turut berkesempatan menyaksikan majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Projek Jemaluang Dairy Valley (JDV) dan program Kluster Fertigasi Cili, di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Beliau berkata kerja-kerja di tapak pembinaan di JDV di Mersing berjalan mengikut jadual, dan syarikat-syarikat Kulim (Malaysia) Berhad, A2 Fresh Sdn Bhd serta JDV Sdn Bhd telah dilantik sebagai Kumpulan Induk dan menandatangani Perjanjian Pajakan serta Perjanjian Komersial.

“Pertukaran dokumen antara ECERDC, Pejabat Daerah Segamat dan Grasicili Farm Sdn Bhd bagi Program Fertigasi Cili di mukim Sermin, Segamat adalah bagi mewujudkan peluang pekerjaan melalui Cluster Farming dalam program berasaskan teknologi pintar.

“Insya-Allah, inisiatif kerjasama strategik antara kerajaan negeri, persekutuan dan syarikat seperti ini dilihat mampu membawa kita ke hadapan dalam mencapai visi tersebut,“ katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menurut beliau Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakan melalui ECERDC di kedua-dua daerah itu amat dialu-alukan dan dilihat akan memberi impak besar kepada kumpulan sasar khususnya golongan miskin tegar dan B40 dalam membantu menyelesaikan masalah ekonomi harian mereka. -Bernama