Johor Wajibkan Lelaki Islam Tutup Premis Perniagaan Semasa Solat Jumaat

LocalPolitics
26 Nov 2024 • 4:03 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Johor akan melaksanakan peraturan baharu yang mewajibkan peniaga dan pelanggan lelaki beragama Islam meninggalkan aktiviti perniagaan sementara semasa solat Jumaat.

image is not available

Foto: Free Malaysia Today

Menerusi laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, menegaskan peraturan ini bertujuan membolehkan lelaki Muslim menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.

Menurut beliau, hanya lelaki Islam yang dikehendaki menutup premis atau berhenti berniaga sepanjang tempoh solat Jumaat berlangsung.

“Mereka yang kena tinggalkan jual beli ini adalah orang lelaki, orang Islam, maka orang inilah jangan berniaga dan jangan berkerja (semasa solat Jumaat).

“Jadi peniaga Islam yang lain boleh berniaga tetapi yang lelaki kenapa pergi makan semasa solat Jumaat. Lelaki Islam kenapa berniaga semasa orang sembahyang Jumaat.

“Kita akan laksanakan penguatkuasaan bagi memastikan semua lelaki yang wajib solat Jumaat menunaikan kewajiban mereka,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Fared berkata pekerja yang tidak diberi kelapangan untuk menunaikan solat Jumaat dapat membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor mulai 1 Januari hadapan.

image is not available

Foto: NSTP

Majikan yang enggan memberikan masa rehat mencukupi atau menghalang pekerja menunaikan solat berpotensi diambil tindakan di bawah Akta Pekerja.

Cadangan ini dikemukakan sebagai jawapan kepada soalan Abdul Aziz Talib dari Perikatan Nasional (PN) berkaitan kemudahan pelaksanaan solat Jumaat.

Sumber: Harian Metro (Omar Ahmad)