
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bakal mewajibkan penggunaan sistem logistik halal tempatan kepada semua pengeluar, pengimport dan pengeksport yang mahu produk mereka diperakui di bawah Persijilan Halal Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, langkah itu bagi menangani kebimbangan dalam kalangan pengguna Islam khususnya risiko percampuran barangan halal dan tidak halal semasa proses penghantaran pukal menerusi pintu masuk utama negeri ini.
Jelasnya, pelaksanaan syarat baharu itu tidak akan membebankan pihak industri, sebaliknya memberikan nilai tambah serta keyakinan berterusan kepada pasaran.
“Sistem logistik halal itu tidak tertumpu kepada tiga pelabuhan di negeri ini sebaliknya bakal melibatkan mod pengangkutan seperti di lapangan terbang, stesen kereta api dan logistik rentas sempadan.
“Kalau mereka mahu kita akui produk mereka sebagai halal dan baik serta mengikut persijilan halal Malaysia, mereka mesti dan wajib guna logistik halal di Johor. Apabila pengguna yakin, pihak industri lebih untung kerana permintaan produk akan bertambah,” katanya pada Konvensyen Logistik Halal Negeri Johor 2026 di Hotel Fraser Place, Puteri Harbour, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fared, sistem logistik halal yang digerakkan berteraskan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 meletakkan Johor sebagai negeri perintis sebelum sistem tersebut diperluaskan ke seluruh negara.
Sementara itu, mengulas tentang konvensyen berkenaan, beliau berkata, resolusi konvensyen itu memberi penekanan khusus kepada aspek digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) menerusi integrasi pembangunan pusat data serta kelebihan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kita mahu bekerjasama rapat dengan Exco Kerja Raya bagi menyelaras pembangunan pusat data dengan keperluan logistik halal, selain memanfaatkan sepenuhnya kelebihan di bawah JS-SEZ.
“Usaha ini melibatkan kerjasama rentas portfolio termasuk Exco Pelaburan serta Exco Pendidikan dan Penerangan bagi memastikan ekosistem logistik halal Johor dilaksana secara menyeluruh,” katanya.
Mohd. Fared turut berkata, resolusi berkenaan sedang diperhalusi sebelum dibentang kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri Oktober depan bagi tujuan pelaksanaan penuh menjelang 2027.-UTUSAN
The post Johor wajibkan sistem logistik halal, manfaatkan JS-SEZ dan AI appeared first on Utusan Malaysia.

