
PETALING JAYA – Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukan sahaja menarik perhatian menerusi pengumuman peruntukan dan inisiatif kerajaan, malah penggunaan 14 perkataan yang mungkin jarang didengar dalam perbualan harian turut mencuri tumpuan.
Antara perkataan yang digunakan ialah waad yang bermaksud janji atau ikrar, manakala lighad membawa maksud untuk hari esok. Seyogia pula bermaksud sepatutnya atau sewajarnya, sementara citra nusa merujuk kepada gambaran atau imej tanah air.
Selain itu, perkataan beranotasi bermaksud sesuatu yang disertakan catatan atau penjelasan tambahan, manakala menata membawa maksud menyusun atau mengatur secara terancang. Inayat pula merujuk kepada pertolongan atau kurniaan, lazimnya daripada Tuhan.
Istilah pranata digunakan bagi merujuk sistem, peraturan atau institusi yang mengatur kehidupan masyarakat, manakala filasuf bermaksud ahli falsafah. Ithaca ialah kota purba di Greece yang dikaitkan dengan kisah Odysseus dan menjadi simbol perjalanan pulang serta makna sebuah destinasi.
Seterusnya, dasawarsa bermaksud tempoh sepuluh tahun atau satu dekad, manakala khulasah merujuk kepada rumusan atau inti pati sesuatu perkara. Turath pula bermaksud warisan keilmuan dan pemikiran tradisional, khususnya dalam tradisi Islam.
Perkataan terakhir ialah zaman mansang, yang menggambarkan semangat, tuntutan dan amanah zaman yang perlu dipikul demi kepentingan generasi masa depan. Konsep itu turut membawa mesej mengenai tanggungjawab generasi hari ini terhadap generasi seterusnya.
Penggunaan istilah berkenaan bukan sahaja memperkenalkan kosa kata yang kurang lazim digunakan, malah menjadi peluang kepada orang ramai untuk menambah pengetahuan bahasa dan memahami maksud di sebalik perkataan yang diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2027. – KOSMO! ONLINE
The post Jom belajar dengan guru, PM ajar 14 perkataan dalam Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.






