Jovian Mandagie diisytihar muflis, gagal bayar pinjaman persahabatan RM5.28 juta

LocalBusiness & Finance
3 Jul 2025 • 4:45 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) di sini, hari ini mengisytiharkan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie sebagai bankrap selepas gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta.

Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen pemiutang yang dikemukakan oleh syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang difailkan pada 20 November tahun lalu.

Menurut petisyen tersebut, Jovian, yang juga bekas menantu kepada mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku penghutang penghakiman, telah melakukan perbuatan kebankrapan dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh petisyen, iaitu dengan gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei tahun lalu.

Jelas petisyen itu, Jovian berhutang kepada Cekap Air RM 5,284,340.66 termasuk faedah setakat 21 Mei tahun lalu, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.

Syarikat berkenaan yang diwakili peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad, berkata pihaknya memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan yang difailkan oleh pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.

Siti Nur Athirazatti berkata, selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, pihaknya kemudian memfailkan Petisyen Pemiutang, yang dibenarkan mahkamah hari ini.

"Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah," katanya lapor BH.

Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama akan didengar 15 September ini.

Pada 2 April 2024, Jovian diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu.

Pada 16 Mei 2023 pula, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.

Cekap Air mendakwa, ia meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.

Menurut Cekap Air, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang itu atas arahan defendan. - 3 Julai, 2025