

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pemeriksaan dan audit keselamatan terhadap 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) yang dikategorikan berisiko tinggi melalui operasi khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA) bermula hari ini.
Fokus: Syarikat Berisiko Tinggi

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti 500 syarikat berisiko tinggi yang terdiri daripada 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres. Selain itu, syarikat yang mempunyai saman tertunggak turut tersenarai berdasarkan data JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Penilaian Pematuhan Keselamatan dan Pengurusan
Objektif utama operasi ini adalah untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan kenderaan, penyelenggaraan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
“Selain itu, audit keselamatan akan melihat pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP), termasuk semakan ke atas pelan teknikal kenderaan serta proses penyelesaian saman oleh pemilik dan pemandu,” katanya.
Tindakan Tegas Susulan Insiden Kemalangan

Langkah ini diambil susulan tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu, serta beberapa kemalangan melibatkan kenderaan berat yang kerap berlaku kebelakangan ini.
Datuk Aedy Fadly menegaskan JPJ tidak akan berkompromi dengan pengendali yang melanggar peraturan atau mengabaikan aspek keselamatan. Tindakan termasuk pengeluaran notis kesalahan, penggantungan atau pembatalan lesen memandu vokasional (PSV/GDL) dan lesen pengendali syarikat akan diambil.

