JPJ beri amaran kontraktor pembersihan gaji pemandu lori sampah warga asing

LocalPolitics
20 Jan 2026 • 6:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hamidi Adam (tengah) pada sidang media Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kontraktor pembersihan yang menggajikan warga asing sebagai pemandu lori sampah tanpa mematuhi syarat undang-undang yang ditetapkan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, berdasarkan statistik operasi tahun lalu, kebanyakan kenderaan pembersihan khususnya lori sampah didapati dipandu oleh warga asing.

"Kita telah mengadakan pertemuan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat-syarikat kontraktor berkaitan bagi menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi menghentikan amalan tersebut," katanya dalam sidang media Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di sini pada Selasa.

Hamidi berkata, JPJ tidak menghalang warga asing daripada memandu kenderaan di Malaysia, namun mereka wajib mematuhi semua peraturan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Sekiranya mahu menggaji warga asing, pastikan mereka mempunyai status imigresen yang sah dan lesen memandu yang diiktiraf.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar,” ujarnya.