JPJ Buat Operasi Mengejut Di Puspakom Seluruh Negara

LocalPolitics
30 Dec 2024 • 4:34 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat operasi mengejut di seluruh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan kenderaan menepati piawaian yang ditetapkan.

Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Kanan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, seramai 350 anggotanya dikerahkan dalam Op Mengejut Puspakom yang telah berlangsung pada jam 9.30 pagi hari ini.

image is not available

Operasi terbabit akan diteruskan tanpa pengetahuan Puspakom seperti yang diarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mahu JPJ melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.

“Fasa pertama adalah sekatan jalan raya yang telah dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua merupakan pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini.

“Fasa ketiga, kita akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk serbu syarikat pengeluar dan fasa keempat pula serbuan di kedai aksesori,” katanya.

image is not available

Memetik laporan Kosmo! Online pula, turut hadir dalam operasi berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman, Ketua Setiausaha MOT Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.

“Daripada 115 lori, sebanyak 29 dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala sebanyak 69 notis telah dikeluarkan.

“Kami juga telah menyita lima kereta dan dua lori, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh kenderaan dirampas dalam hanya dua jam 30 minit operasi,” jelasnya.

JPJ juga mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori yang menggunakan tayar celup tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang borpotensi meletup pada bila-bila masa.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan penyelia dan kakitangan Puspakom Wangsa Maju dipanggil ke Ibu Pejabat JPJ pukul 10 pagi esok bagi soal siasat berhubung penemuan sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan tidak selamat.