ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan menggantung lesen vokasional (PSV) pemandu sebuah bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan sehingga mencederakan beberapa penumpang di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru–Air Hitam di Johor, pada malam Ahad.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil sementara menunggu hasil siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, arahan penggantungan lesen tersebut dibuat di bawah Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan.
“JPJ telah mengarahkan pasukan penguat kuasa untuk menggantung lesen PSV pemandu bas berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Program Singgah Sahur JPJ Kedah bersama Komuniti Permotoran, awal pagi Selasa.
Jelas beliau, pihaknya turut mengarahkan satu pasukan menjalankan Audit Keselamatan Pemeriksaan JPJ (JISA) terhadap bas yang terlibat bagi meneliti aspek pematuhan keselamatan kenderaan.
Katanya, semakan awal turut mendapati peranti kawalan had laju (SLD) bagi bas berkenaan masih sah digunakan sehingga tahun 2027.
“Bas tersebut mempunyai sijil SLD yang masih sah, namun siasatan lanjut tetap akan dijalankan bagi memastikan punca sebenar kemalangan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes kemalangan itu kini berada di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan ia melibatkan kemalangan jalan raya.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah bas ekspres membawa penumpang dipercayai terbabas sebelum terbalik di tepi jalan berhampiran Kampung Sepakat Baru, Batu 11 susur keluar Plaza Tol Skudai.
Dalam kejadian itu, bas berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun bersama seorang pembantu pemandu berumur 51 tahun serta sembilan penumpang.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, JPJ merancang menambah lebih banyak kamera badan (BWC) bagi kegunaan anggota penguat kuasa di lapangan.
Menurutnya, setakat ini agensi itu mempunyai kira-kira 100 unit kamera badan yang mula digunakan sejak November tahun lalu, khususnya ketika anggota menjalankan operasi penguatkuasaan di jalan raya.
“Setakat ini kita lihat keberkesanannya agak tinggi kerana anggota yang bertugas diwajibkan memakai kamera badan semasa menjalankan operasi. Namun disebabkan jumlahnya terhad, penggunaannya terpaksa dilakukan secara giliran,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses merancang perolehan baharu termasuk menyediakan spesifikasi tender bagi menambah bilangan kamera badan tersebut, dengan sasaran awal sekitar 500 unit atau lebih bergantung kepada peruntukan yang diluluskan.



