MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita 49 kenderaan dipandu warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di beberapa lokasi di sekitar negeri itu pada Rabu.
Pengarah JPJ negeri, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, daripada jumlah itu, 44 kenderaan adalah motosikal manakala lima kereta dengan 22 daripada pemandu berkenaan ialah warga Rohingya, Pakistan (10), Bangladesh (sembilan), Indonesia (lima), Vietnam (dua) dan India (satu).
Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula 6.30 hingga 11.30 pagi tadi, tiga kesalahan utama yang dikesan dilakukan warga asing berkenaan ialah memandu tanpa lesen memandu sah, cukai jalan atau tiada insurans kenderaan.
"Kebanyakan kenderaan yang digunakan warga asing itu adalah milik warganegara tempatan dan kenderaan itu dipercayai digunakan bagi tujuan perniagaan atau pekerjaan.
"Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan warga asing itu mengenali pemilik kenderaan dan kebanyakannya mengaku pemilik adalah majikan mereka tetapi kesahihannya masih belum diketahui,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
**media[3546709]**
Siti Zarina berkata, kenderaan yang disita itu antara 147 kenderaan yang diperiksa dalam Ops Pewa yang dilaksanakan di sekitar Klebang, Kampung Limbongan, Merlimau, Jasin dan Melaka Sentral.
Beliau berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 98 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menurut Siti Zarina, pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan mereka dan tindakan memberi kebenaran kepada warga asing untuk memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah adalah satu kesalahan dan tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga semalam, JPJ Melaka memeriksa 2,322 kenderaan dan daripada jumlah itu, 177 kenderaan disita termasuk 152 kenderaan dipandu warga asing.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, 774 kenderaan diambil tindakan manakala 951 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan di bawah Akta 333. - Bernama



